Friday, February 29, 2008


Jalan Konkrit Bertar

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa jalan dari pekan ke Sungai Petai, berhampiran Balai Polis baru, dibina dengan konkrit setebal tujuh atau lapan inci. Bila konkrit itu keras, barulah diturapkan dengan tar di atasnya. Cara menurap tar agak berbeza jika dibandingkan dengan cara yang digunakan sekarang ini. Tar yang hendak digunakan dibawa dalam tong atau drum dan dilonggokkan di tempat yang hendak digunakan. Tar itu dicairkan terlebih dahulu dalam dapur bergerak menggunakan kayu api. Sebelum dimasukkan ke dala dapur, tong-tong tar itu dipotong dua dengan menggunakan kapak. Tar yang keras menjadi cair dan dituangkan ke dalam bekas penyiram khas diperbuat daripada besai. Setiap orang boroh PWD (Public Works Depertment) mengandar dua penyiram tar untuk dibawa ke tempat yang hendak di siram dengan tar cair itu. Ia disiram ke atas permukaan konkrit hingga rata sebelum ditaburkan pasir di atasnya menggunakan saki, sejenis alat menabur pasir diperbuat daripada rotan. Pasir yang ditaburkan itu akan menjadikan permukaan jalan itu cukup kuat untuk digunakan, bila ia bercampur dengar tar dan menjadi keras. Setelah agak sejuk, permukaan jalan itu digiling dengan kereta giling. Saya dan kawan-kawan merasa amat seronok bila dapat melihat kereta giling tersangkut dalam lumpur jalan tanpa tar. Kereta giling yang digunakan mempunyai tiga roda besi yang berat, satu di hadapan dan dua di belakang. Kereta giling sekarang hanya mempunyai satu roda besi di hadapan manakala dua roda belakang merupakan roda getah.

Dapur yang digunakan itu ditarik ke tempat yang baru hinggalah proses menyiapkan jalan selesai. Sukarnya. Namun begitu, itulah cara yang paling moden pada masa itu. Setiap orang bangga dengan cara itu; tiadak ada teknoloji yang lebih baik. Sekiranya mereka dapat pusing jarum jam ke hadapan dan dapat singgah ke zaman kini, mereka tentu akan merasa kagum dengan teknologi yang digunapakai sekarang. Kita semua yang masih diizinkan Allah untuk terus hidup sebenarnya telah mengikut jarum jam ke hadapan, tetapi dalam waktu sebenar; 40 atau 50 tahun ke hadapan. Kita terpaksa tunggu lama untuk sampai, tidak seperti H.G. Wells yang mengembara menggunakan “The Time Machine”.

Hari ini, tong atau drum tar sudah tidak kelihatan lagi. Tar datang dalam bentuk premix dalam lori dari pusat memprosesnya dan terus diturapkan menggunakan kenderaan khas. Tugas yang dijalankan dapat disiapkan dengan cepat dan permukaan jalan yang bina menjadi lebih kuat.

No comments: