Saturday, February 16, 2008



Fun Fair
A.R.Tompel, Mat Sentul dan Ghazali Sumantri pernah berada di Kuala Berang selama satu atau dua minggu dalam tahun 50an. Mereka datang mengadakan pertunjukan bangsawaan dalam Fun Fair yang diadakan di kawasan antara padang bola dan deretan kedai, di kaki Bukit Bendera. Banyaklah cerita bangsawan yang dipersembahkan selama mereka berada di Kuala Berang. A.R.Tompel dan Mat Sentul selalunya membawa watak yang kelakar dan jenaka. Ghazali Sumantri pula selalu membawa watak hero.



Dalam kawasan yang sama terdapat pentas joget dan pemuziknya tentulah kumpulan muzik yang diketuai oleh Che Wan Mansor. Itu sahaja hiburan yang ketika itu di samping wayang gambar dalam panggung daun nyiur yang dibawa oleh Wahab Travelling Cinema. Selain itu, sekali sekala, ada juga tayangan wayang gambar Jabatan Penerangan. Kebanyaka filem yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan adalah filem rencana yang diterbitkan oleh Filem Negara. Setiap kali ada tayangan ada interval untuk membolehkan pegawai penerangan berucap dan memberikan maklumat dan berita yang hendak disampaikan kepada rakyat oleh kerajaan. Waktu itulah lampu dinyalakan dan kami kanak-kanak menyorak marah. Sambungan tayangan hanya bermula setelah ucapan yang tidak memberi sebarang erti kepada kami itu selesai kira-kira sejam kemudian. Kalaulah ketika itu ada TV!

Bodoh! Kami semua bodoh

Di Kuala Berang ada dua bukit. Berhampiran Bukit Bendera terdapat Bukit Pengakap yang lebih rendah dan kecil. Di puncak bukit terdapat sebuah bangunan kecil berdinding asbestos. Di situlah penulis menjalankan aktiviti berpengakap di bawah pimpinan Cikgu Abu Bakar Ibrahim. Ketua Kumpulan penulis adalah Abdul Razak Yaacub. Dari atas bukit kami dapat melihat gelanggang tennis dan padang bola. Kadang-kadang kami panjat Bukit Bendera mencari buah berangan yang banyak terdapat di situ. Kalau tak silap penulis, Bukit Pengakap sudah tiada lagi di situ kerana telah disodok dan diratakan.

Ketika berpengakap kami menggunakan kayu sepanjang lima kaki sebagai kayu pengakap. Sesuatu yang menggerunkan berlaku mengenainya. Sampai hari ini pun penulis masa terasa ngeri bila mengingatinya. Ceritanya begini: Abdul Razak, ketua kumpulan kami, mengajak penulis dan beberapa orang lagi pergi mencari kayu untuk dijadikan kayu pengakap. Beliau mengajak kami ke sebuah bukit dekat jambatan gantung di jalan ke Bukit Gemuruh berhampiran Tengku Ampuan Intan Primary School. Kami panjat bukit itu menerusi celah-calah semak dan hutan tebal hingga ke puncak tanpa rasa takut. Di sana kami jumpa lopak dan kesan haiwan liar bersarang. Setelah dapat kayu yang kami cari kami turun dan pulang dengan selamat. Bodoh. Kami semua bodoh. Bila sudah dewasa baru kami sedar bahawa kami sebenarnya telah pergi ke kawasan hutan yang penuh dengan harimau dan babi hutan tanpa apa-apa senjata. Allah sahajalah yang menmelihara kami ketika itu. Sekarang ini pun penulis tak akan ke situ kerana takut. Kawan rapat penulis, Ho Su Ting, tentu masih ingat peristiwa ini.

Itulah sebabnya kenapa orang dewasa sukar memahami kanak-kanak agaknya. Kanak-kanak sanggup membuat perkara merbahaya yang tidak sanggup dibuat oleh orang dewasa. Mat rempit sekarang yang melakukan aksi ngeri ketika mononggang motosikal agaknya bodoh macam kami dahululah. Mereka tak sedar mereka melakukan perkara bodoh. Kami pun begitu juga.

Bodoh. Bodoh dalam bertidak, tetapi cerdik dalam belajar. Kami akhirnya berjaya. Abdul Razak akhirnya jadi Guru Besar. Ho Su Ting berjaya dalam perniagaan.

No comments: