Wednesday, February 13, 2008

Lenyapnya Kuala Berang Kami (Harap Komen)



Lenyapnya Kuala Berang Kami

Kuala Berang Dalam Tahun Lima Puluhan

Pekan ini terdiri daripada dua baris jalan selari (Lihat Gambar) sepanjang kira-kira 300 meter yang dipisahkan oleh kawasan lapang pemisah selebar 4 meter sama panjang dengan jalan yang memanjang mengikut arah timur ke barat. Sepanjang jalan itu pula dibarisi bangunan kayu rumah kedai dua tingkat di sebelah kiri kanan jalan. Dari arah Kuala Terengganu pekan ini dimasuki dari arah timur. Di tengah-tengah pekan barisan rumah kedai sebelah utara dipisahkan oleh jalan yang menghala ke Butut dan di arah yang setentang dengan jalan Butut barisan rumah kedai dipisahkan oleh bangunan pasar lama.

Di sini, Sungai Terengganu bertemu dengan Sungai Berang sebelum menghilir ke laut di Kuala Terengganu. Di pinggir sungai itulah terdapatnya sekolah, balai polis, pejabat daerah dan klinik serta pejabat pos. Pejabat pos hanya menumpang di pejabat daerah. Mahkamah juga bersambung dengan pejabat daerah, manakala pejabat agama dan pejabat hutan terletak di pinggir sungai yang berhampiran dengan Bukit DO yang di puncaknya terdapat kediaman pegawai daerah.

Itulah Kuala Berang, pekan penulis dilahir dan dibesarkan; di mana jalan yang bermula dari Kuala Terengganu berhenti. Jalan mati. Semua kenderaan tidak boleh pergi sama ada ke Kampung Gaung atau kampung Buluh di seberang Sungai Terengganu dan Sungai Berang. Tiada kampung di seberang sungai boleh dihubungi dengan kenderaan melalui jalan darat. Penulis ingin menceritakan tentang wajah Kuala Berang dalam tahun lima puluhan; wajah yang telah tidak kelihatan lagi sekarang. Itulah sebabnya penulis namakan buku ini sebagai Lenyapnya Kuala Berang Kami kerana wajah Kuala Berang kami itu tidak mungkin akan kembali lagi. Ia telah hilang. Bagaimanapun ia segar dalam ingatan penulis dan penulis ingin timbulkan semula untuk dijadikan teladan atau hanya sebagai kenangan.

Nyaris Dibawa Pulang Ke Jepun.




Pada tahun 1950 pemerintahan Jepun baru lima tahun berakhir. Tentera Jepun baharu lima tahun meninggalkan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Penulis masih belum bersekolah dan tidak mampu mengingati apa yang berlaku ketika pemerintahan Jepun kerana penulis dilahirkan setahun sebelum tentera Jepun mengaku kalah dan meninggalkan Tanah Melayu.


Menurut cerita ibu, ketika tentera Jepun masih di Kuala Berang suatu peristiwa penting berlaku dalam keluarga penulis. Menurut ibu, rumah nenek di mana penulis dilahirkan adalah rumah kedai dalam pekan dan bersebelahan dengan ibu pejabat Tentera Jepun yang terletak di sebelah kanan rumah. Jiran di sebelah kiri rumah nenek adalah Mak Cik Che Nik dan suaminya Pak Cik Che Mat. Umur Mereka sebaya umur nenek. Mak Cik Che Nik adalah bidan yang menyambut kelahiran penulis.


Sewaktu dilahirkan wujud suasana yang agak mencemaskan. Tali pusat penulis dikatakan hidup dan bergerak-gerak sebelum dipotong. Suara tangisan penulis ketika dilahirkan mendapat perhatian ketua tentera Jepun di situ. Beliau meminta Nan Teh, bibi kepada pegawai Jepun itu supaya mengambil penulis untuk dijadikan anak angkatnya. Kemudian berlakulah drama tawar menawar dan tarik menarik antara ibu, bapa dan nenek dengan pegawai Jepun itu dan Nan Teh. Faham sahajalah cara tentera Jepun ketika itu, terkenal dengan kekejamannya. Kecoh seketika. Ibu, nenek, Mak Cik Che Nik dan suaminya turut memainkan peranan.


Nasib penulis agak baik kerana rayuan ibu bapa penulis dan bantuan oleh Nan Teh telah menyebabkan hasrat tentera Jepun tersebut tidak menjadi kenyataan. Kalau tidak, barangkali, sekarang ini penulis tentu sedang berada di negara Jepun dan hidup sebagai pesara di sana. Entah-entah penulis adalah taukeh syarikat kereta atau apa-apa. Alhamdullillah disisihkan Allah dan penulis kekal di sini. Ibu yang kini berumur lebih 90 tahun tinggal bersama penulis.


Tak lama selepas itu keluarga penulis serta datuk dan nenek berpindah ke rumah baru iaitu rumah kedai pertama sebelah kanan kepala bandar bertentangan dengan rumah Taukeh Murtuja, seorang taukeh yang agak kaya berasal dari India. Beliau memiliki lori dan kereta sewa serta menternak lembu secara besara-besaran di batu 24 selain menjadi pemborong beras. Abang sulong penulis bekerja sebagai pemandu salah sebuah lori milik Taukeh Murtuja di samping seorang driver lain bernama Che Abas, seorang mualaf. Kemudian abang sulong penulis bertukar menjadi pemandu teksi, juga milik Taukeh Murtuja (Gambar). Anaknya, Hasmah, Hasnah dan ahli keluarganya bernama Mohd Yassin merupakan rakan sekolah penulis. Mohd Yassin datang dari India sejak kecil dan tidak tahu bercakap Melayu ketika mula-mula tiba.


Penulis susah untuk melupakan peristiwa Mohd Yassin dibalun oleh Apek angkut nagis dengan lidi penyapu najis ketika beliau mengintai dan mempersendakan pekerja itu. Entah macam mana Mohd Yassin telah terkepung di reban ayam belakang kedai Ah Boon. Dia tak dapat lari. Jalan mati. Bau seluarnya Tuhan sahaja yang tahu setelah terkena penyapu apek angkut najis itu. Kami panggil penganggkut najis itu apek walaupun mereka orang Melayu. Kerana biasanya di Kuala Terengganu mereka terdiri daripada kaum Cina.


Kad Pengenalan Mula Diwajibkan
Kerajaan melancarkan gerakan mengeluarkan kad pengenalan kepada semua rakyat ketika penulis berumur tiga tahun lebih. Penulis masih ingat apa yang berlaku kerana penulis melihatnya ketika berada di Kepong, kampung asal ibu. Bahagian bawah rumah nenek sebelah ibu dijadikan tempat pendaftaran dan pengambilan gambar kerana rumah nenek rumah lama yang tinggi tiangnya. Semua penduduk Kepong dan kampung-kampung sekitarnya hadir beramai-ramai mendaftar dan diambil gambar.


Ibu tinggalkan penulis di gerai di mana beliau menjual kain. Penulis menangis kerana ingin mengikut ibu ke tempat pendaftaran. Ayahngah Wea, bapa saudara penulis memujuk penulis supaya tidak menangis. Dari jauh penulis nampak ibu didudukkan di atas kerusi dan di bahagian atas kepalanya disusun nombor pengenalan ibu. Bila gambar diambil, nombor itu akan kelihatan dalam gambar betul-betul di bahagian atas kepala.





Kad pengenalan yang dikeluarkan itu cuma dalam bentuk sekeping kertas bermaklumat diri dengan sekeping gambar saiz paspot. Gambar yang dilekatkan itu ditebuk dengan lubang-lubang kecil untuk mengelak daripada berlakunya penipuan gambar. Walaupun tidak canggih seperti kad berchip sekarang, orang dahulu dikesan jarang menipu atau memalsukan dokumen.
Waktu itu pengganas komunis menjadi masalah besar kepada kerajaan. Jadi, kad pengenalan adalah cara membezakan antara rakyat dan komunis. Semua orang dikehendaki membawa kad pengenalan bila ke mana-mana.






Sargeant Tahir dan Jungle Squad

Penulis biasa benar menyaksikan pasukan jungle squad berkumpul di padang pejabat daerah berhampiran balai polis, sebelum masuk ke hutan memburu pengganas komunis. Kanak-kanak seperti penulis gemar berkumpul melihat mereka dari wakaf di tebing sungai. Seorang askar yang amat dikenali ketika itu ialah Sargeant Tahir. Beliau sering menyertai pasukan yang masuk ke hutan, barangkali menjadi penolong kepada ketua pasukan yang diketuai oleh seorang pegawai Inggeris. Mereka berbaris berjalan menuju ke hutan dalam jumlah kira-kira 20 orang dengan bekalan makanan di belakang setiap askar. Mereka tidak memakai pakaian celorong-celoreng, tetapi hanya berpakain hijau biasa. Senjata yang digunakan merupakan bermacam jenis yang penulis tak tahu menyebutnya. Ada yang pendek dan tempat pelurunya bersing ke kiri. Orang menyebutnya sebagai machine gun. Jenis ini tak banyak. Paling banyak ialah jenis panjang yang disebut carbine. Entan betul atau tidak sebutannya. Dalam banyak jenis senjata itu, senjata yang paling ditakuti oleh pengganas ialah yang bertiang tiga. Namanya penulis tak tahu.

Kadang-kadang mereka pulang dengan pengganas yang telah ditembak mati. Penulis dan kawan-kawan pernah melihat pengganas yang ditembak mati itu di bawa pulang ke balai polis dengan kenderaan perisai yang dinamakan GMC. Ramai penduduk Kuala Berang pergi ke balai polis untuk melihatnya. Kesan peluru dapat dilihat menembusi pipi kiri dan terkopak besar di pipi kanan. Menggerunkan. Ada kawan yang berkata, “Jika kena badi mayat, kita tak dapat tidur.” Kami menjadi semakin takut.

Paling seronok ialah bila askar yang pulang itu membahagi-bahagikan bekalan yang tak habis dimakan kepada kami. Ada yang mendapat kacang dalam tin, coklat koko dan susu tepung. Seronoknya.





Di samping askar yang penulis ceritakan itu, kerajaan juga Inggeris juga menubuhkah pasukan kawalan kampung yang dinamakan home guard. Pasukan ini terdiri daripada orang kampung dan dilatih menggunakan senjata. Mereka kelihatan mengadakan latihan berkawad di padang bola dan dapat dilihat dari pasar lama dengan jelas. Mereka tidak diberikan pakaian seragam; Cuma dipakaikan arm band yang tertulis huruf HG di lengan kiri. Tugas mereka ialah untuk mengawal kampung daripada gangguan pengganas yang masuk ke kampung-kampung mencari bekalan makanan untuk dibawa ke hutan.

Kecekapan pasukan HG ini tidak boleh dipandang rendah kerana penus pernah melihat mereka membawa pulang pengganas komunis yang telah mati mereka tembak menggunakan perahu. Pengganas yang telah mati itu terbujur dalam perahu di sungai sebelum diserahkan kepada polis. Ramai pendukan Kuala Berang yang turun ke sungai untuk melihatnya.

Bayangkan kesusahan yang terpaksa dilalui oleh penduduk kampung pada masa itu. Walaupun mereka tidak dihantui oleh masalah dadah dan HIV, inilah masalahnya; setiap hari hidup dalam ketakutan kerana pengganas komunis.

Pengganas komunis juga pernah menahan bas sebelum tiba di Ajil ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. Mereka naik ke bas dan menyamun wang penumpang bas sebelum membiarkan bas meneruskan perjalanan.

Kira-kira dalam tahun 1950an bapa pernah bertugas sebagai pasukan tambahan dalam pasukan pulis dan bertugas sebagai pemandu. Menurut cerita bapa beliau pernah diserang hendap ketika dalam perjalanan menghantar pasukan polis ke kemaman. Bapa memandu lori dalam konvoi beberapa buah trak. Semua anggota diarah turun berselindung setelah trak berhenti. Bapa berselindung di belakan tayar trak, manakala anggota polis membalas tembakan pengganas sehingglah pengganas berhenti memberikan tentangan. Mujurlah tiada seorang pun yang tercedera. Ini adalah di antar sebab mengapa bapa berhenti daripada menjadi anggota pasukan tambahan polis.


Masyarakat India Muslim

Kaum India di Kuala Berang semuanya beragama Islam. Bilangan mereka tak ramai. Penulis dapat mengingati semuanya: Ali Mamat, Shafie, Hamid, Pak Mat Leno, Idris, Pak Mat Gemuk, Kumpulan Kedai Roti yang pulang dan datang semula bergilir-gilir, Taukeh Murtuja dan Mohd Yassin yang masih kanak-kanak.

Semuanya telah berkahwin dengan orang tempatan kecuali yang di kedai roti dan Mohd Yassin. Mohd Yassin kawan sesekolah penulis dan tinggal dengan abangnya Taukeh Murtuja berhadapan dengan rumah menulis.

Kasihan Ali Mamat. Pekedai runcit ini telah dikapak kepalanya dengan kapak kecil berhampiran lori Murtuja pada suatu malam yang gelap. Beliau sedang melintasi kawasan itu untuk ke kedai roti. Perbuatan itu entah angkara siapa. Beliau kelihatan berlari ke kedai roti dengan tangan di kepala kerana menahan kesakitan dan darah yang keluar dengan banyaknya. Kedai roti menjadi kecoh. Sebenarnya kedai roti itu ialah tempat Ali Mamat, Murtuja dan kumpulan kedai roti melepak setiap malam. Agaknya di situlah mereka melepaskan rindu terhadap kampung halaman asal mereka di India. Orang yang bertanggung-jawab mengapak Ali Mamat tidak dapat dikesan dan penulis tidak tahu apa yang berlaku selepas itu.

Kadang-kadang mereka mereka makan cara India beramai-ramai di kedai roti. Penulis kadang-kadang ternampak makanan yang terhidang. Apalagi kalau bukan roti dan dalca.

Kedai roti ini menjadi sumber utama roti di Kuala Berang. Roti yang dibakar dalam tempat membakar yang dipanaskan dengan api dari kayu api itu amat sedap rasanya. Tempat membakar roti itu dibakar dengan menggunakan kayu getah dan api menyala dengan besarnya. Ketika panas memebara semua abu dan arang dikeluarkan. Kemudian barulah roti dimasukkan untuk di bakar oleh kepanasan dapur konkrit yang dibakar tadi.

Cara menjualnya ialah dengan menjunjungnya dalam bakul besar ke kampung-kampung sekitar di seberang sungai. Perjalanan penjual roti agak jauh dan memenatkan, tetapi mereka kelitan gigih dan bersungguh-sungguh menjalankan tugas itu. Tak hairanlah mereka berulang kali bergilir-gilir pulang ke India membawa pulang hasil titik peluh mereka di sini. Penulis paling gemar makan roti keras dan roti berinti kelapa. Kadang-kadang penulis berkongsi makan dengan Mek Yam, ‘tunang’ Datuk Gaung yang berjiran dengan penulis. Mek Yam yang tolong belikan kerana kedai roti tak jauh dari rumah kami. Tak hairanlah mengapa Datuk Gaung marah sangat pada penulis. Ha! Ha! Ha!

Tak lengkap rasanya kalau penulis tak ceritakan cara penjual-penjual roti tidur. Mereka tidur di tempat terbuka. Mereka menggunakan sejenis katil kayu yang menggunakan tali guni yang mereka buat sendiri di veranda terbuka rumah kedai. Katil seumpama ini biasa dilihat dalam filem-filem Hindustan. Kami dapat melihat mereka tidur di atas katil yang disusun sebaris sepanjang verandah. Ini menyebabkan mereka boleh merasa angin malam yang sejuk itu. Agaknya ini pun salah satu cara mengingati suasana ketika mereka di kampung mereka di India. Tidur atas bumbung.

Pak Mat Gemuk merupakan jiran kedai roti. Anak-anaknya seperti Abdul Rahman, Hassan dan Maidin adalah kawan penulis. Anak sulongnya, Cikgu Abdullah, lulusan Kolej Sultan Idris Tanjung Malim, merupakan guru penulis. Keistimewaan kedai Pak Mat gemuk ini ialah radionya. Radionya besar dan menggunakan bateri kereta untuk berfungsi. Bila habis tenaganya bateri itu dihantar ke rumah Mak Mek yang ada generator untuk dicaj semula. Selain itu radionya dipasang kuat dan didengari separuh pekan. Kami mengerumuni kedai Pak Mat Gemuk untuk mendengar rancangan bangsawan di radio. Rancangan bangsawan menjadi kegemaran ramai orang ketika itu. Tentang lagu-lagu tak usah ceritalah banyaknya. Lagu hindustan dan lagu-lagu Melayu lima puluhan sentaiasa berkumandang di radio Pak Mat Gemuk. Beliau juga ada peti nyanyi (Gramaphone) yang dipusing dengan tangan terlebih dahulu sebelum dapat memusingkan piring yang lebar itu.

Kedai Pak Mat Gemuk juga tempat di mana Wahab Travelling Cinema menempatkan poster wayang gambar seminggu atau sehari dua sebelum tayangan. Di situlah terdapatnya maklumat mengenai cerita yang hendak ditayang di panggung terbuka berdindingkan daun kelapa berhampiran balai polis. Pada hari wayang gambar hendak ditayangkan pengumuman dan lagu-lagu dimainkan dengan riuhnya untuk memaklumkan bahawa pada malam itu ada tayangan.

Idris pula mempunyai kedai runcit yang menjual berbagai keperluan termasuklah pakaian seperti baju yang agak berjenama. Ia merupakn kedai yang agak istimewa dan menjadi tumpuan pegawai-pegawai kerajaan di daerah ini. Jika barang keperluan yang dikehendaki tida didapati di kedai Idris, pelanggan terpaksalah pergi ke Kuala Terengganu untuk mendapatkannya. Tiada pilihan lain. Kedai Indirs inilah merupakan satu-satunya kedai yang ada telefon. Beliau juga ada sebauh lagi kedai yang serupa di pekan Ajil. Penulis sempat berkawan dengan anaknya, Alias, yang hinga kini penulis tak tahu kemana perginya.

Shafie pula suka menternak kambing. Beliau juga adalah seorang pemilik kedai runcit yang agak ada kelas. Kambingnya diberi makan nasi. Beliau asalnya tidak beragama Islam tetapi merupakan seorang muslim yang baik; sentaiasa menunaikan solat dan berkopiah.

Hamid dan Pak Mat Leno pula pemilik kedai makan. Penulis tidak dapat melupakan sup daging di kedai Hamid serta roti canai dan kari daging di kedai Pak Mat Leno. Nenek sering menyuruh penulis ke kedai Pak Mat leno untuk membeli kari daging dari kedainya. Harganya Cuma 20 sen dan di bawa pulang dalam koleh besi yang penulis bawa untuk makan sekeluarga. Sup kedai Hamid pula cuma berharga 30 sen seorang makan.

Wahab Travelling Cinema

Wahab dan rombongan Travelling Cinemanya datang ke Kuala Berang, kalau tak silap penulis, dua minggu sekali. Inilah sumber hiburan malam yang amat ditunggu-tunggu oleh penduduk Kuala Berang dan kampung berdekatan seperti Kampung Buluh dan kampung Butut. Lagu-lagu dipasang dengan kuatnya menghebahkan kehadiran Wahab Travelling Cinema dari panggung terbuka berdinding daun kelapa berhampiran Balai Polis. Poster filem yang hendak ditayang telah beberapa hari di tampalkan di hadapan kedai Pak mat Gemuk.

Menjelang maghrib penulis sentasa bersama Wahab yang amat rapat dengan penulis berjalan-jalan di sekitar pekan dan tebing sungai. Entah mengapa Wahab sukan penulis dan kami kadang-kadang berpimpingan tangan. Tak hairanlah mengapa penulis sentiasa dapat menunton secara percuma bila ada wayang gambar. Walaupun tiket untuk kanak-kanak berharga 15 sen, penulis rasa ia tentu membebankan juga kalau terpaksa membayar sendiri. Tiket untuk orang dewasa berharga 50 atau 60 sen. Mereka yang tak berwang, maksud penulis kanak-kanak, ada yang panjat pokok kawasan rumah penghulu Su dan menonton dari atas pokok. Goyangan daun dan dahan pokok dapat dilihat dari dalam panggung. Mereka yang lebih berani masuk dengan memboloskan diri melalui celah dinding daun kelapa.

Kami basah bila hujan turun tiba-tiba seandainya tidak membawa payung dan gambar di skrin pula menjadi kelabu waktu bila bulan terang. Gambar yang ditayang biasanya dalam hitam putuh. Kebanyakan filem yang ditayangkan adalah filem Hindustan. Cuma kadang-kadang sahaja terdapat filem Melayu. Filem Inggeris pula, jika ada, biasanya dalam warna.

Selesai pertunjukan semua penunton keluar dan berjalan kaki beramai-ramai menuju rumah masing-masing. Penulis tak pernah melihat sesiapa pulang dengan kereta atau motosikal. Bayangkanlah dan bandingkanlah dengan zaman sekarang.

Bila penulis menyambung persekolahan menengah di Sultan Sulaiman Secondary School, Kuala Terengganu, penulis belajar dalam satu kelas dengan Razak, seorang kawan baru di Kuala Terengganu. Beliau adah adik kepada Wahab, tuan punya Travelling Cinema yang amat rapat dengan penulis di Kuala Berang. Dalam Form I C penulis berjumpa dengan kawan baru seperti Anuar, Hamzah, Gan Wee Beng, Harry Isaacs, Ngah, Tengku Fatimah dan Kamariah. Cuma Kamariah sahaja yang bertudung ketika itu kerana beliau dari keluarga Islam yang berasal dari Yunan dalam negara Cina. Anuar akhirnya menjadi DO di Seberang Prai Utara dan Hamzah seorang professor di universiti. Manakala Razak berpangkat tinggi dalam tentera.


Kereta, Bas, Lori dan Basikal

Di Kuala Berang hanya terdapat beberapa buah kereta, bas dan lori sahaja; tidak banyak seperti hari ini. Guru Besar pun hanya berbasikal ke sekolah. Menyentuh tenyang basikal penulis masih ingat cara menjaga basikal pada waktu itu. Basikal hendaklah sentiasa bersih dan berkilat. Jadi, ada di antara pemilik basikal yang begitu cermat menjaga basikal mereka sehingga membawa 'kain kuning' pembersih basikal di handle basikal masing-masing. Jika kini orang menjaga kereta mereka umpama isteri kedua, pada zaman itu mereka menganggap basikal sebagai isteri kedua. Basikal yang mahal biasanya mempunyai meter perbatuan. Kelajuan giarnya berbunyi dan dapat didengari bila dikayuh. Oleh kerana tidak ramai orang menggunakan kenderaan bermotor, suasana udara tidak langsung tercemar seperti hari ini. Mereka tidak mengenali jerebu atau 'carbon monoxide'. Hero setempat yang paling kacak pun pada waktu itu hanya berjalan kaki sahaja; tiada masalah parking dan tiada masalah kesesakan jalan raya.



Kuala Berang tidak terkecuali daripada mengalami cara hidup yang disebutkan itu. Penulis teringatkan tentang Ah Boon yang membeli dan memiliki sebuah kereta terpakai. Itulah kali pertama beliau memiliki kereta. Beliau memandunya berpusing-pusing dalam pekan berpuluh pusingan tiap-tiap hari. Ia menggemparkan semua penduduk pekan. Agaknya perlakuan seumpama itu jika dilakukan sekarang tentu ia menjadi bahan tertawa. Bagaimanapun, Ah Boon kadang-kadang banyak minum dan menjadi mabuk. Bila beliau mabuk suara bisingnya kedengaran seluruh pekan. Menggemparkan.



Kereta yang agak diminati pada masa itu ialah kereta jenis Ford Prefect, Simca, Ford Taunus dan Ford Council. Ada beberapa jenis kereta lain selain daripada kereta yang disebutkan itu dan semuanya merupakan kereta import. Harganya pula dalam lingkungan $5,000.00(RM) hingga $9,000.00 (RM). Penulis menceritakan ini semua semata-semata untuk memberikan gambaran kepada pembaca tentang status kehidupan zaman tersebut.


Sebelum penulis bercerita lebih lanjut tentang alam persekolahan, penulis rasa lebih baik diletakkan asas yang kukuh mengenai keadaan awal lima puluhan, agar pandangan yang diberikan mengenai persekolahan menjadi lebih bererti.

Pokok Ara Berhantu.


Sepohon pokok ara besar sentiasa menyambut pengunjung Kuala Berang. Ia berdiri megah dan rimbun di sebelah kiri jalan sebelum memasuki pekan. Ia sangat hampir dengan rumah penulis. Waktu pagi pokok tersebut riuh rendah dengan bunyi burung perling mata merah dan lain-lain spesis burung yang sedang makan buah ara yang masak.

Pada waktu malam tiada siapa berani mendekatinya kerana dikatakan berhantu dan ada penunggu. Kanak-kanak seperti penulis tak mungkin beranai menghampirinya. Penulis sering mendengar bunyi dahan pokok ara tersebut bergoyang dengan kuatnya. Bunyinya seram dan menakutkan. Anehnya, tak berapa jauh dari pokok itu, agak ke dalam sedikit ada kebun getah dan di sana terdapat sebuah rumah yang didiami oleh keluarga Pak Wea Jenagor. Pak Wea dan keluarga berulang alik kerumahnya melalui pokok ara itu.
Ada juga cerita-cerita yang mengatakan bahawa pernah kelihatan suatu lembaga berwarna putih berdiri di pangkal pokok itu pada waktu tengah malam. Penulis sendiri belum pernah melihatnya.






Akhirnya penulis sendiri melihat pokok ara berhantu itu tumbang disondol buldozer ketika kawasan itu hendak diratakan untuk membina jalan ke tapak sebuah pasar baru berhampiran rumah Pak Wea Jenagor. Maka berakhirlah rumah hantu yang ditakuti ramai kanak-kanak waktu itu.


Pak Belang Merayau Dalam Pekan.





Kuala Berang tidak ada kemudahan bekalan elektrik seperti di Kuala Terengganu. Kegelapan malam menakutkan waktu bulan gelap. Malah pak belang pun pernah dilihat masuk merayau dalam pekan pada waktu malam. Mereka yang tidur di tingkat atas rumah kedai pernah melihat pak belang berjalan-jalan dalam pekan. Menggerunkan.



Masih ternampak di mata penulis bila penulis dan rakan-rakan berjumpa tapak kaki harimau dalam tanah berlumpur di lorong ke pondok Tok Fakir. Kami semua berkerumun melihatnya. Kemudian lari lintang pukang kerana ketakutan. Di seberang jalan ialah balai polis baru. Bagaimanapun ia merupakan perkara biasa sahaja. Ia bukan merupakan sesuatu yang luar biasa pada waktu itu.






Pasar dan Kereta Lembu Bandaran






Kereta lembu Majlis Bandaran disimpan di pasar lama, di anjung berhampiran dengan perigi. Pok Wea Mak Nab, pekerja bandaran, ditugaskan mengendalikan kereta lembu tersebut. Isterinya, Mak Nab, berniaga di pasar. Setiap pagi mereka keluar barsama menuju ke pasar. Mak Nab ke pasar untuk berniaga manakala Pak Wea datang untuk memulakan tugas harian sebagai pengendali kereta lembu. Ia tidak menggunakan tenaga lembu. Beliau menolaknya keliling pekan untuk memungut dan melupuskan sampah di kawasan pekan. Agaknya itulah sahaja satu-satunya kereta lembu yang dipandu manusia dan bertugas memungut sampah.
Bila kereta lembu itu tidak digunakan penulis kadang-kadang bermain-main di atasnya kerana nenek penulis Che Simbuk juga berniaga di pasar itu. Jadi penulis agak kerap ke pasar untuk bersama nenek. Penulis telah mencuba menolak kereta lembu itu, tetapi ianya berat dan tak bergerak. Kadang-kadang beberapa ekor kambing yang berkeliaran gemar melompat ke atas kereta lembu, naik dan turun berulang kali menyebabkan bunyi bising. Mengganggu.
Gerai jualan Mak De Gemuk agak hampir dengan kereta lembu. Beliau merupakan penghalau kambing yang bengis. Mak De Gemuk setiasa dikunjungi kanak-kanak seperti penulis. Di situ kami boleh beli permainan koyak dan menang. Dengan bayaran 5 sen kami boleh mendapat hadiah seperti ikan mas plastik dan lain-lain jenis permainan yang amat digemari. Ada di antara kami yang menipu nombor yang dimenangi kerana Mak De Gemuk bercermin mata tebal dan kelabu.





Seorang lagi peniaga di pasar yang penulis tak dapat melupakannya ialah Mak Ngah Che Jah. Beliau agak seusia dengan nenek. Beliau menjual cendol, nasi dagang dan rijak betik. Semua jualannya itu menjadi kegemaran ramai orang termasuk penulis. Kuah nasi dagangnya agak gelap warnanya, tetapi sedap dan unik. Sebungkus nasi dagang cuma berharga 10 sen. Demikan juga harga semangkuk cendol dan semangkuk rojak betik. Suaminya Che Abas berniaga barangan lain di hadapan gerainya. Seluruh warga pasar agak kecoh bila Che Abas mengambil Mak De Mek yang berniaga di belakang gerai nenek sebagai isteri kedua. Pemusuhan antara Mak Ngah Che Jah dengan Mak De Mek bermula dan berlarutan. Nenek nampaknya menbelahi Mak Ngah Che Jah.





Di pasar itu ada dua orang Mak Nab. Mak Nab yang seorang lagi ini menjual mee goreng yang rasanya sampai hari ini pun penulis jadikan perbandingan bila makan mee yang dimasak oleh isteri. Rasanya sedap dan sentiasa diletakkan sehiris telur di atasnya bagi sebungkus mee yang berharga 5 sen. Penulis merupakan pelanggan tetap kerana gerainya di hadapan gerai nenek.



Pasar Kuala Berang menjadi pusat perniagaan pekan sehari dua kali seminggu, iaitu pada hari Sabtu dan hari Rabu. Peniaga dari luar daerah akan datang berniaga dan penduduk dari seluruh daerah jauh dan dekat akan keluar beramai-rami membeli barang keperluan seperti makanan dan pakaian.






Watak-watak seperti Mak Malaya, Che Din Maajun dan penjual ubat tradisional lain akan muncul pada hari pekan sehari.





Wak Malaya menjual minyak kambing gurun. Kepala kambing guru dibawa dalam bekas khas terendam dalam minyak yang dikatakan minyak kambing gurun itu. Biasanya Wak Malaya dibantu oleh seorang wanita cantik yang diperkenalkan sebagai isterinya walaupun beliau sendiri sudah agak berumur. Beliau membawa bermacam cerita untuk memikat pengunjung. Setiap orang di calitkan minyak kambing gurun untuk dirasa kepanasan dan baunya.






Che Din Maajun sentiasa hadir dengan kereta besar dan tak henti-henti berceloteh ketika menjual maajunnya. Che Din agak lain caranya. Dia hanya duduk di kerusi di sebelah meja maajunnya dan bercakap. Celotehnya tertumpu kepada cara-cara makan maajun dan kesannya. Suasana sekitar menjadi riuh rendah dengan laungan dan celoteh penjual ubat yang biasanya menggunakan pembesar suara berkuasa bateri kereta.






Banyak perkara pelik berlaku di pasar. Penulis pernah melihat ramai pengunjung pekan sehari mengerumuni seorang yang berjubah sedang menjual tangkal azimat. Tangkal azimat yang diikat dengan tali kuning dan merah kononnya boleh menjadikan pemakainya kebal. Dalam gengaman orang berjubah itu ada banyak tangkal azimat itu. Jadi, semua pembeli akan menjadi kebal bila membeli dan memakainya. Di kalangan yang mengerumuni penjual itu ialah Tok Imam Wan Ismail dan beberapa kawan yang baru keluar dari masjid. Beliau turut menyaksikan telatah penjual azimat itu. Selain berceloteh, beliau menghafal surah Yassin dengan lantang. Apabila terdapat kesilapan dalam bacaan Tok Imam Wan Ismail menegornya. Apa lagi, beranglah si penjual azimat yang bercakap dalam lograt Kelantan itu. Langsung beliau menyatakan beliau telah banyak bunuh orang dan tidak suka ditegur bacaannya. Tok Imam Wan Ismail memohon maaf dan beredar. Tinggallah penjual azimat itu meneruskan celoteh dengan marahnya. Orang ramai masih mengerumuninya dan tangkal azimat itu laris dijualnya. Itulah kisah dulu di mana ramai orang percayakan tangkal azimat yang terang-terang ditegah dalam Islam. Sekarang mana ada orang berani terang-terangan menjual tangkal azimat begitu?



Jaafar Kampung Buluh dan Pak De Gemuk






Ayah sebenarnya berasal dari Pulau Rusa di Kuala Terengganu. Ayah Ayah berpindah ke Kuala Berang ketika masa kanak-kanak mengikut nenek dan datuk. Penulis tidak dapat bercerita tentang zaman kanak-kanak ayah kerana kurang mengetahui mengenainya. Seingat penulis ketika di Kuala Berang ayah berniaga ikan. Ayah memiliki sebuah van jenis Fordson dan setiap hari berulang ke Kuala Terengganu membeli ikan untuk dijual di pasar Kuala Berang.

Pasar Tanjung di Kuala Terengganu 1950-an
Nenek selalu ke sana untuk mendapatkan bekalan bahan jualan. 
Bapa pula boleh dikatakan tiap hari berulang-alik ke sana untk mendapatkan bekalan ikan.



Ibu menjadi taukeh pelara yang dihasilkan dengan ikan yang tak habis dijual setiap hari. Manakala udang yang tak terjual digoreng tepung. Penulis membawanya ke sekolah dan menjualnya kepada kawan-kawan sehingga dimarahi pemilik kantin sekolah.



Bila ikan yang dibawa pulang dari Kuala Terengganu tiba, penulis tidak dapat melupakan dua watak penjual ikan yang bertugas untuk bapa, Jaafar Kampung Buluh dan Pak De Gemuk. Jaafar kelakar orangnya. Cakapnya melucukan dan disukai ramai. Cara dia memanggil pelanggan dan cara dia membilang ikan agak unik. Waktu itu ikan yang dijual tidak ditimbang. Ia dibilang mengikut ekor dan dicucuk dengan dawai yang dipotong pendek agar senang dibawa pembeli. Membilang ikan ada caranya tersendiri. Membilang satu hingga lima bunyinya begini, “Se se, we we, ge ge, pat pat, me me….” Sambil membilang sambil mencucuknya ke dawai. Tak ada siapa tak kenal Jaafar di Kuala Berang. Di mana-mana pun Jaafar lucu dan kelakar. Di kedai gunting Ayah Por pun beliau senangi ramai.










Pak De Gemuk lain sedikit. Bila hujan, walau bagaimana lebatpun, Pak De Gemuk tak berganjak dari tempat dia duduk ketika menjual ikan; bukan di tempat teduh tetapi di dalam hujan. Beliau duduk tak berbaju dalam hujan, manakala pelanggan berada di kawasan teduh di bahagian dalam tepi pasar. Pak De Gemuk seolah-olah mahu memberi tahu semua orang bahawa kegemukannya menyebabkan beliau tidak merasa sejuk. Beliau juga merupakan watak terkenal. Bila berpakaian lawar beliau gemar memakai topi besar yang dilipat tepi kanannya ke atas dan berseluar pendek. Segak.



Pak De Gemuk pernah menjadi pelakon undangan dan memegang watak taukeh perusahaan ikan kering di Seberang Takir dalam filem Jabatan Penerangan yang ditayang ke seluruh pelusuk tanah air.


Nasi Dagang Paling Sedap


Gerai nasi dagang Che Nik Said depan kedai Abdul Rahman Kassim di sebelah rumah kedai yang dijadikan stesen bas, merupakan nasi dagang paling sedap di Kuala Berang. Lauknya lebih merah warnanya daripada lauk nasi dagang Mak Ngah Che Jah yang dijual di pasar dan nasi dagangnya hanya dijual sebelah pagi. Isteri kepada Pak Cik Said, Station Master Syarikat Bas Terengganu, ini tak menang tangan setiap pagi. Ada pembeli membelinya dan terus membawanya ke kedai kopi Ah Boon sebelah rumah Ho Su Ting, kawan rapat penulis, untuk dimakan bersama kopi. Tidak kurang juga yang membeli untuk dibawa pulang ke rumah dalam bungkusan daun pisang yang berharga 15 sen sebungkus. Itu kerja penulislah. Kena sekali nak lagi!
Mak Yam Lemang


Mak Yam menjual lemang secara menjaja dan dibawa dalam bakul yang dijunjung atas kepalanya. Di samping lemang Mak Yam juga menjual Tapai pulut. Tapai pulutnya lain dari yang lain. Ia dibungkus kecil-kecil dalam daun pisang.


Setiap hari Mak Yam yang tinggal di Kampung Rahmat, Jalan Butut, akan lalu melalui Jalan Hospital sebelah kedai gunting Ayah Por. Kadang-kala dipanggil oleh pelanggan Ayah Por atau Ayah Por sendiri untuk membeli lemang atau tapai. Jualannya agak laris kerana tapainya manis dan lemangnya sedap dan berlemak. Lemang yang telah dipotong pendek-pendek itu berharga 10 sen sepotong dan tapainya cuma 5 sen sebungkus.



Bila bercakap mengenai Mak Yam, penulis teringatkan anak bujang Mak Yam bernama Wan Manan yang selalu berpakaian kemas dan biasa kelihatan beliau memakai seluar shark skin putih dan berkasut kahwin. Beliau sebaya Abang Long. Penulis tak pernah jumpa dia lagi selepas meninggalkan Kuala Berang untuk melanjutkan pelajaran ke Sultan Sulaiman Secondary School di Kuala Terengganu dalam tahun 1960.


Mak Yam Sate


“Mahu berapa banyak cok (cucu)?” tanya Mak Yam dalam bahasa Indonesia yang pekat. Mak Yam dan suami Pak Bujang berasal dar tanah seberang. Mereka datang ke Malaya menyertai rombongan bangsawan sebagai pelakon. Pak Bujang pemain biola yang handal. Mereka kekal di Kuala Berang bila rombongan bangsawan pulang tanpa mereka.


Mak Yam dan suami meneruskan hidup dengan berniaga sate. Bahan yang hendak dijual dikandar dari rumah sewanya di Kampung Rahmat menggunakan alat mengandar dalam dua bekas kotak kayu, sama seperti yang dapat dilihat dalam filem-filen Indonesia, ke hadapan kedai Cermin Mata. Jangan silap faham. Kedai Cermin Mata di sini bukan kedai menjual cermin mata. Ia sebenarnya sebuah kedai kopi yang dimiliki oleh Cermin Mata, seorang lelaki Cina dan nama Cermin Mata merupakan gelaran yang diberikan kepada tuan punya kedai kopi tersebut kerana beliau bercermin mata tebal. Kedai Cermin Mata ini istimewa kerana roti bakarnya yang disapu serikaya buatan sendiri.


Depan kedai inilah Mak Yam dan suaminya, Pak Bujang, berniaga. Dua kotak satenya itu diletakkan di bahagian hadapan kedai dan letaknya agak lebih ke kiri. Tempat membakar sate diletakkan di tanah luar kaki lima. Pak Bujang membakar sate sambil duduk di kekuda kayu setinggi lima atau enam inci. Berbaju khaki beliau sudah agak berumur dan beruban; berbadan kurus dan kuat merokok. Rokoknya terpasang di puting tanduk dan sentiasa berasap di bibirnya. Kedua-dua tangannya bebas mengipas dan menyusun sate di atas bara.


Jarak sepintu dari kedai Cermin Mata adalah kedai Pak Mat Leno yang menjual roti canai. Lupa penulis nyatakan yang sate Mak Yam dijual untuk sarapan pagi sama seperti roti canai. Jadi peminat sate boleh memilih sama ada hendak makan sate di kedai Cermin Mata dengan ketupat dan roti bakar atau di kedai Pak Mat Leno dengan roti canai. Kuah sate memang sedap jika digandingkan dengan roti bakar atau roti canai.


Mak Yam ada menyediakan sejenis sate yang dipanggil sate tulang. Ia tulang ayam yang dilumatkan dan di padatkan dengan daging. Rasanya cukup sedap. Penulis tak pernah berjumpa sate tulang lagi hingga kini setelah meninggalkan Kuala Berang. Barangkali hanya Mak Yam sahajalah yang menyediakan sate tulang di dunia. Entah. Mungkin sate tulang ada di tempat yang belum pernah penulis sampai. Penulis selalu beli sebungkus dan dibungkus dalam daun pisang yang di dalamnya mengandungi ketupat yang telah dipotong kecil, kuah sate dan secucuk sate yang lidinya terjulur keluar. Harganya cuma 15 sen.


Mandi Sungai.


Penduduk Kuala Berang bergantug kepada perigi untuk mendapatkan air. Musim kemarau air perigi menjadi kering. Sungailah yang menjadi alternatif untuk mandi dan mendapatkan air.
Penulis dan rakan-rakan sentiasa ke sungai untuk mandi, kerana merasa amat seronok mandi di sungai yang luas dan tebingnya berpasir bersih (sekarang sudah menjadi keruh dan berlumpur) serta jernih airnya. Bila tiba musim kemarau, penduduk pekan tidak lagi boleh bergantung kepada perigi untuk mendapatkan air mandi atau air minuman. Mereka turun ke sungai beramai-ramai untuk mandi pada sebelah pagi dan petang. Ia menjadi semacam pesta mandi beramai-ramai setiap hari. Penulis masih ingat, di akhir tahun lima puluhan, bila penulis sudah memasuki kelas "SMC" di sekolah Inggeris, bila selesai latihan atau perlawanan ragbi, kami ke sungai beramai-ramai mandi dengan disertai oleh guru-guru ragbi.

Pulau kecil di tengah sungai iaitu betul-betul di kuala Sungai Berang 
yang bertemu Sungai Terengganu.

Di tengah sungai ada sebuah pulau kecil. Di situlah kami bermain dan berperang olok-olok. Kami membaling tanah liat yang diambil dari tebing pulau dan menggunakannya sebagai peluru. Kami membalingkannya ke arah musuh hingga seluruh tubuh diselaputi lumpur tanah liat. Bila dah puas bermain kami mandi sepuas-puasnya. Seronoknya. Kini pulau kecil itu sudah tidak lagi kelihatan di situ.


Kekurangan pada waktu itu boleh dibayangkan melalui satu lagi perkara, iaitu jumlah kemudahan telefon yang ada. Cuma ada tiga buah telefon Kuala Berang dengan sebuah telefon awam. Nombor telefon cuma tiga angka. Ini bererti seseorang pemanggil perlu dail tiga nombor. Kini kita cukup mewah dengan telefon. Setiap rumah ada memilikinya dan handset dimiliki oleh setiap tiga orang. Alangkah bertuahnya orang sekarang! Masaalah untuk berhubung di antara satu sama lain tidak timbul langsung.
Cari Durian


Kedai Gunting Jaafar


Ayah Por menyawa bahagian kedai rumah nenek di mana penulis tinggal. Itulah satu-satunya kedai gunting rambut yang ada di Kuala Berang. Kami tinggal di bahagian belakang dan tingkat atas. Lokasinya seperti yang dinyatakan dahulu adalah rumah kedai pertama di kepala bandar bersebelahan simpang jalan ke hospital baru di belakang masjid. Ayak Por tinggal di Jalan Kubur belakang balai polis baru. Beliau datang dan memulakan perniagaan setiap pagi dan pulang waktu petang. Isternya, Che Nik, setiap hari datang memabawa makanan tengah hari untuk Ayah Por. Penulis sering bertembung waktu makan dan makan bersama. Penulis sering dihadiahkan lauk seperti ikan golek ketika makan sebagai tambahan kepada lauk yang penulis sedang makan.


Ayah Por, kadang-kadang didengar bergurau memberitahu Che Nik yang dia ingin beristeri lagi. Che Nik menyatakan dia menizinkannya kerana katanya, “Tak dok sape doh nok ke mung tu!”; yang bererti bahawa tiada sesiapa yang mahukan Ayah Por lagi. Dipendekkan cerita, penulis dengar khabarnya Ayah Por memang beristeri seorang lagi lama selepas itu dan beranak pinak.
Kedai gunting Ayah Por sentiasa di penuhi oleh pelanggan bukan sahaja dari pekan Kuala Berang, bahkan juga dari kampung-kampung di luar pekan. Mereka datang dari Butut, Kampung Buluh, Gaung, Telaga, Tanjung Putat dan lain-lain kampung di seberang sungai. Upah bergunting Cuma 70 sen bagi orang dewasa. Manakala bagi kanak-kanak Cuma dikenakan 40 sen sahaja.



Kedai gunting Ayah Por menjadi pusat berkumpulnya peminat papan dam. Mereka duduk di situ berjam-jam bertarung dalam perlawanan dam. Biasa dua pemain yang berlawan dikerumuni oleh ramai peminat. Riuh rendah bunyi hilai tawa penyokong. Salah seorang pemain terhandal adalah abang penulis, Wan Ghani. Boleh dikatakan beliau sukar dikalahkan oleh sesiapa pun. Penulis sendiri kurang pandai bermain dam kerana sentiasa dikalahkan oleh Mohd Yassin walaupun beliau seorang kanak-kanak India yang belum fasih berbahasa Melayu.


Di situ jugalah tempat Datuk Gaung, seorang pesakit mental, yang sentiasa memakai berbagai lencana dan mengaku dirinya sultan Johor, bersantai dan bersyarah. Pidatonya sentiasa dipersendakan oleh Ayah Por dan ini mengundang gelak ketawa di kalangan yang hadir. Hanya dua orang sahaja yang ditakuti Datuk Gaung; Ayah Por dan Aki Pak Tiong. Ayah Por ditakuti kerana dia dianggap keluarga sultan Johor dan di anggap setaraf dengan dirinya. Aki ditakuti kerana beliau menjadi penoreh getah di kebun Aki. Dan, Aki adalah anak Mak Mek Tiong.


Penulis belum pernah mendengar beliau menikam dan mencederakan orang, tetapi penulis amat takut kepadanya kerana beliau sentiasa menunjukkan keris berulu gading yang dibawanya ke mana-mana. Selain itu beliau pernah memberitahu orang bahawa amat marah kepada penulis kerana mengganggu buah hatinya Mek Yam.


Ceritanya begini. Mek Yam adalah jiran sebelah rumah penulis berketurunan Cina. Beliau berumur 10 tahun dan cucu Mok Mek Tiong, jiran nenek penulis yang membuat kuih jualan seperti pau, apam dan kusu untuk dijaja dan dihantar ke kedai-kedai kopi setiap magi. Oleh kerana Mek Yam kawan sekolah penulis dan penulis suka bersamanya melihat Mak Mek menguli gandum setiap malam, Datuk Gaung yang dah berusia 60 tahun naik cemburu dan marah. Sebenarnya beliau adalah kuli Mak Mek dan menumpang tidur di situ tiap malam.


Beliau adalah orang kampung Gaung di seberang sungai Terengganu. Pada suatu hari beliau limaukan kerisnya di belakang rumah Mak Mek Tiong dan bertanya penulis, “Mu nak nih?”, sambil mengacukan kerisnya kepada penulis. Apa lagi, kecut perut penulis melarikan diri. Sejak hari itu penulis setiasa mengelak dari bertemu Datuk Gaung. Jadi, bila Datuk Gaung ada di kedai gunting penulis berkurung di dalam rumah. Siksa juga hidup penulis yang baru berumur 10 atau 11 tahun (Gambar 4) ketika itu.


Pengurus Pasukan Bola Sepak


Liga bola sepak daerah Kuala Berang menjadi kegilaan penduduk daerah. Ayah Por merupakan pengurus pasukan boroh merangkap penjaga golnya.

Wan Busu Apam Balik


Wan Busu tinggal di Kampung Buluh di seberang Sungai Berang. Beliau merupakan peniaga apam balik dan ayer batu campur menggunakan kereta sorong. Apam baliknya itu dimasak di hadapan rumah kedai Mak De Gemuk setiap pagi sebelum memulakan perniagaannya. Kuali yang digunakan agak besar, kira-kira 14 inci ukuran diameter.


Tepung adunan apam balik dikacau dalam tin minyak tanah menggunakan seberkas rotan. Kemudian ia dituang ke dalam kuali dengan koleh dan ditaburkan gula, kismis serta majrin. Ketika baru masak ia masih panas dan sedap dimakan. Ia dipotong kecil-kecil berukuran kira-kira 2.5 inci X 4 inci dan harganya cuma 10 sen sekeping. Penulis merupakan peminat apam balik Wan Busu terutama yang masih panas kerana tepinya garing dan rangup.


Setelah semua apam baliknya masak barulah Wan Busu menolak kereta sorongnya ke lokasi jualannya dekat pasar berhampiran kedai Mak Ku Tuan Kembang. Pengunjung makan di bangku panjang yang di tempatkan di keling kereta sorongnya itu dan amat laris terutama pada hari Sabtu dan Rabu iaitu hari-hari pekan sehari bagi Kuala Berang.


Jalan Masjid


Jalan Masjid bermula di sebelah kanan sebelum memasuki pekan Kuala Berang dan berakhir di hospital baru. Bagaimanapun sebelum hospital baru didirikan, di tapak hospital itulah terdirinya rumah Tok Bilal Deraman. Penulis tidak dapat melupakan peristiwa kebakaran rumah Tok Bilal Deraman. Seluruh rumah beliau terbakar hangus dalam sekelip mata sahaja. Penulis sempat menyaksikan isteri Tok Bilal Deraman yang meraung-raung kerana kepedihan melihat rumanya yang terbakar itu. Itik dan ayam juga dapat dilihat hangus terbakar kerana reban ayam terletak di bawah rumah. Waktu itu tiada kereta bomba atau pasukan bomba untuk menolong memadamkan kebakaran. Selepas peristiwa itu Tok Bilal Deraman dan keluarga membina rumah baru ke darat kira-kira setengah kolometer dari pusat pekan.


Tak lama selepas itu hospital baru pun didirikan tanpa doktor dan wad. Che Awang Dresser dianggap sebagai doktor oleh orang Kuala Berang. Penulis pernah dimarah oleh ‘doktor’ ini bila berjuma beliau kerana meminta ubat panau. Katanya tiada ubat untuk itu dan disuruhnya penulis basuh sahaja panau itu. Penulis keluar bilik rawatan bercawat ekor dibuatnya.
Che Awang dresser dibantu oleh tiga orang attendan. Mereka ialah Mat Gaung, Ibrahim peniup trompet dan yang paling baru Ismail Merbau Patah. Pesakit amat takut berdepan dengan Che Awang. Beliau agak garang dan hobi beliau ialah berkasut berjenama mahal. Hobinya ini diketahui oleh semua pegawai kerajaan dan rakan-rakan di Kuala Berang. Beliau kemudian memenangi loteri dan membeli kereta baru jenis Ford.


Betik di kawasan hospital sering dicuri olek kanak-kanak nakal. Suatu hari aku dengar bercerita mengenainya di kedai gunting Jaffar. Belai kata,” Aku dah cucuk betik di hospital dengan racun….sesiapa yang curi dan makan betik itu akan terima padahnya!”. Semenjak itu betiknya tak hilang lagi.


Selain rumah Che Mat Forest, rumah Tok Imam pun di Jalan Masjid. Masjid Kuala Berang masih bangunan kayu. Di kolahnya ada ikan kaloi yang agak besar. Ayer kolah dipam dari perigi. Abang Long memiliki salah sebuah jeep, dan penulis pernah memandu jeep tersebut ketika diminta membasuhnya. Satu peristiwa lucu yang tak dapat penulis lupakan ialah ketika penulis terlanggar pagar masjid. Bayangkanlah, penulis ketika itu baru berusia sekitar 12 tahun. Tok Bilal Deraman tak dapat berbuat apa-apa kecuali ketawa terbahak-bahak.

Belajar Mengaji dan Sekolah Agama


Kami belajar mengaji (membaca Al-Quran) dan fardhu ain di rumah Tok Imam Haji Ismail dan diajar oleh isteri Tok Imam dan kadang-kadang dijar oleh Tok Imam sendiri. Sebelum mengaji kami mengambil air dari perigi dan memenuhkan tempayan air basuh kaki di tangga rumah. Rumah Tok Imam bersebelahan dengan rumah Salim Che Mat Forest. Salim juga belajar bersama kami. Salim agak nakal dan pernah dirotan ketika mengaji. Entah mengapa penulis berpakat bersama Salim untuk berhenti mengaji di situ.


Kami kemudian menyambung pelajaran agama di sekolah agama petang bertempat di bangunan sekolah yang bersebelahan dengan rumah kedai Haji Su. Kelas agama diadakan sebelah petang. Kami ditempatkan dalam darjah dua dan diajar oleh Ustaz Mohd Radzi. Cuma ada dua orang guru agama di situ. Ustaz yang seorang lagi bernama Ustaz Long.


Bila murid agama petang bertambah ramai, kami dipindahkan belajar di sekolah atap berhampiran padang bola. Di sana penulis dilantik memjadi pembaca doa sebelum pengajaran agama dimulakan setiap hari. Waktu itu penulis dalam darjah tiga.


Agak susah bagi penulis dan kawan-kawan melupakan Norisah, anak Guru Besar Sekolah Melayu Kuala Berang. Norisah yang berbadan kecil sentiasa ditunggu kehadirannya. Norisah membawa bersamnya coklat menisang yang menjadi kegemaran kami. Kami memanggilnya coklat menisang kerana ia dibuat daripada manisan kelapa. Beliau menjualnya. Lima coklat menisang dijual dengan harga 5 sen. Ia dibungkus bersama debu tepung un tuk mengelak coklat menisang melekat sesama sendiri.


Norisah akhirnya memasuki kelas Special Malay di Sekolah Tengku Ampuan Intan Primary, Kuala Berang. Penulis jarang berjumpa Norisah setelah berpindah ke Kuala Terengganu. Penulis dapat tahu yang Norisah mendirikan rumah tangga dengan seorang inspektor polis dan sampai hari ini penulis tak dengar khabar berita mengenainya lagi.



Hasmah Murtuja belajar dalam darjah tiga bersama penulis. Entah macam mana pada suatu hari ketika Ustaz Long mengajar di kelas sebelah penulis marahkan Hasmah kera sesuatu perkara yang penulis dah lupa. Penulis ancam untuk merentap pen berdawat ke bajunya. Hasmah mencabar penulis melakukannya kerana sangkanya penulis tak berani melakukannya. Secepat kilat penulis melibas pen penulis melintang. Dawat pen penulis bertitik melintang panjang di baju Hasmah. Kembang Che Hussein, jirannya, menjadi saksi. Anehnya, selepas peristiwa itu kami tidak bermusuhan. Kanak-kanak! Beliau seorang kawan yang baik. Beliau akhirnya berkahwin dengan seorang uztaz dan tinggal di Pengadang Baru. Khabarnya beliau telah meninggal di Tanah Suci Makah.


Bersekolah Dalam Bangunan Beratap Nipah


Keadaan sesetengah sekolah amat menyedihkan. Malah, terdapat juga sekolah yang didirikan dengan kayu bulat dari hutan dan beratap nipah serta tanpa berdinding. Lantainya pula tidak disiminkan. Di Sekolah Melayu Kuala Berang kami belajar berlantaikan tanah. Kebanyakan meja dan kerusi merupakan bangku panjang serta mejanya mempunyai kaki yang ditanam ke dalam tanah; tidak boleh dialih-alih lagi. Sekolah di kampung ibu penulis cuma sebuah pondok besar yang boleh memuatkan dua kelas, beratap nipah dan bertiang kayu bulat ; tiada lampu elektrik dan tiada kipas angin. Seorang guru yang paling smart dan bergaya pun cuma menggunakan sebuah basikal 'Raleigh'; tiada motosikal, tiada kereta.


Sekolah di Kuala Berang pula tidak banyak bezanya daripada yang terdapat di kampung. Antara satu kelas dengan kelas yang lain hanya dipisahkan dengan dinding singkat, di mana kita boleh melihat kaki murid yang berada di kelas bersebelahan. Waktu hujan lebat tempias masuk ke dalam hingga ke bahagian tengah bangunan kerana bangunan tidak berdinding. Tanah (lantai) menjadi berair dan becak.


Walaupun beratap nipah, bangunannya panjang hingga boleh memuatkan tujuh atau lapan kelas. Sebab itulah ia sering dijadikan tempat pertunjukan "concert" atau pada waktu itu disebut sebagai pertunjukan sandiwara yang sering dipentaskan oleh guru-guru, pegawai-pegawai kerajaan dan belia. Kaum lelaki memegang watak wanita dalam sebarang pementasan kerana kaum wanita tidak turut melibatkan diri. Penulis juga pernah melihat Allahyarham Dato' Onn berucap dalam bangunan itu. Sambutan yang diberikan kepada beliau amat hebat walaupun ketika itu beliau merupakan musuh politik Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera.


Bangunan yang agak hebat sedikit pada waktu itu adalah juga bangunan kayu serta berlantai kayu. Cuma tiangnya sahaja merupakan tiang konkrit. Pintunya besar dan berat. Murid-murid dari kelas atas iaitu mereka yang berada dalam darjah VI atau darjah VII serta pejabat Guru Besar biasanya ditempatkan di situ. Bangunan ini terletak berhampiran rumah kedai Haji Su yang dipisahkan dengan jalan ke kediaman DO di puncak bukit.


Ketika dalam darjah satu penulis diajaroleh Cikgu Mek Zah. Masih ternampak cara Cikgu Mek Zah menuliskan garisan lurus dari atas ke bawah berulang kali untuk disalin oleh kami semua. Cikgu Mek Zah lulusan Maktab Perguruan Melayu Melaka dan sentasa bersanggul dua. Cikgu Mek Zah mendirikan rumah tangga dengan Cikgu Abu Bakar Ibrahim, seorang guru yang berasal dari Negeri Sembilan. Beliau lulusan Sultan Isdris Training College. Beliau adalah guru pengakap sekolah. Beliau cukup berminat dengan tugasnya itu sehingga akhirnya beliau berjaya menjawat jawatan Pesuruhjaya Pengakap Negeri.




Cikgu Mohd Keling, Guru Besar, juga berasal dari Negeri Sembilan. Cikgu Mohd Keling merupakan seorang guru besar yang amat ditakuti kerana garang. Murid yang selalu tak hadir ke sekolah diancam untuk dibawa ke Balai Polis. Bagaimanapun ia cuma gertakan. Penulis tahu Cikgu Mohd Keling baik orangnya dan jasanya kepada pelajar Kuala Berang tak terhingga banyaknya. Mukanya kelihatan bengis dan bila marah air liurnya tersembur keluar. Tetapi bila merotan hanya bahagian tengah rotan mencecah tapak tangan yang dirotan. Tidak menyakitkan. Semua murid tahu tentang ini. Bila bersara beliau digantikan oleh Cikgu Abdullah Taib, bapa Norisah, kawan penulis yang jual coklat menisang itu. Penulis pernah didebung (tampar) atas belakang oleh Cikgu Abdullah Taib. Ia berlaku tanpa disedari penulis. Beliau datang dari belakang. Penulis duduk paling belakang dalam kelas sekolah atap tanpa dinding. Hari hujan dan di belakang penulis ada longkang penuh air. Di dalamnya ada kertas sampah terapung. Beliau marah kerana sebagai jiran longkang, penulis tak punggut sampah itu. Terperanjat penulis dibuatnya. Bagaimanapun penulis dan rakan-rakan sukakan beliau kena beliau seorang yang baik hati.




Air Perigi dan Taman Sekolah




Air perigi menjadi sumber air minuman di kebanyakan sekolah. Penulis masih dapat merasakan bau air perigi yang diminum dari timba bila tekak terasa dahaga. Keadaan sekitar perigi yang becak adalah perkara biasa. Sekolah tidak mempunyai kawasan bertar, tetapi kebanyakannya mempunyai taman yang cukup terjaga. Setiap pagi murid-murid berada di semua sudut taman menguruskan kebersihan, keceriaan dan kesuburan pokok-pokok dalam taman. Dengan cara itu taman sekolah menjadi milik bersama dan sentiasa dijaga rapi. Kelemahan orang sekarang terletak dalam aspek ini. Setiap pagi, bila tiba di sekolah semua murid terus ke kawasan taman tanpa perlu disuruh; semua muris, lelaki dan perempuan. Setiap pagi dapat dilihat semua murid mencangkung dan mencabut rumput menggunakan tangan. Kawasan sekolah pula dikelilingi pokok buluh pagar yang batangnya sebesar jari. Ia dicantas rapi oleh murid yang sudah besar dari darjah lima. Rebung buluh pagar menjadi kegilaan murid darjah satu. Mereka, termasuk penulis, menggunakannya untuk menghitamkan papan batu kerana pada masa itu kami dalam darjah satu menulis di papan batu menggunakan kalam batu. Papan batu mudah pecah bila terjatuh atau terduduk di atasnya. Kami hanya dapat bawa pulang kerja yang ditulis pada waktu terakhir untuk ditunjukkan kepada ibu bapa. Kerja lain dar pagi dipadamkan setiap kali pelajaran selesai. Semua hasil kerja kami diperiksa dan ditanda serta diberikan markah oleh guru menggunakan kapur.


Walaupun semua sekolah sekarang mempunyai tukang kebun dan tukang sapu, keadaan kebersihan dan keceriaan sekolah kurang terjaga. Ini kerana peranan tenaga murid-murid diabaikan. Jika ada pun sekolah yang dianggap cantik sekarang ini, ia terdiri daripada sekolah-sekolah yang tidak memperkecilkan peranan yang boleh dimainkan oleh murid-murid.


Setengah sekolah didirikan di tepi hutan atau berhampiran kebun getah. Ada juga yang dibina berhampiran sungai. Tidak ada jalan raya yang menghubungkannya dengan pekan. Guru-guru terpaksa menaiki bot atau "jeep" sapu untuk sampai ke sekolah. Tidak kurang juga yang terpaksa berjalan kaki dengan meredah hutan dan belukar. Kereta biasa tidak boleh digunakan kerana jalanraya yang terlalu teruk keadaannya.


Adakalanya, beberapa ekor binatang liar seperti babi melintasi kawasan sekolah. Ini tidak mungkin berlaku lagi pada masa sekarang.




Kebun Sayur Sekolah




Sesuatu yang amat berkesan dan membanggakan berlaku ialah penglibatan para pelajar di kebun sayur sekolah. Murid-murid diberikan plot kebun di mana mereka boleh menanam sayur-sayuran. Setiap pagi mereka ke kebun sayur sekolah terlebih dahulu sebelum mengikuti pengajaran guru dan kadang-kadang mereka datang pada waktu petang untuk berkebun. Mereka seolah-olah bertanding untuk mempastikan agar tanaman merekalah yang terbaik dan paling subur. Ini merupakan latihan pertanian yang tak ternilai di kalangan murid-murid. Orang sekarang menyebutnya sebagai Sains Pertanian. Malangnya, ia cuma hebat pada nama, kebun sains pertaniannya tidak menjadi.


Pakaian Seragam Sekolah




Selain dikehendaki berpakaian seluar pendek, mereka tidak dikenakan sebarang pakaian seragam khas. Cuma, murid-murid dikehendaki berpakaian bersih, itu sahaja. Bagaimanapun, amat sukar bagi kita untuk melihat murid yang berpakain baru. Ini barangkali sejajar dengan status ibu bapa mereka yang rata-rata berpendapatan rendah. Ramai daripada mereka merupakan anak-anak petani. Anak pegawai kerajaan merupakan sebilangan kecil daripada jumlah murid sekolah. Selain daripada menjadi petani mereka juga adalah penoreh getah dan menjalani kehidupan sebagai tukang rumah dan seumpamanya. Kilang-kilang di merata tempat seperti hari ini tidak pernah wujud.


Bila memasuki sekolah Inggeris barulah penulis dan rakan-rakan dikehendaki memakai pakaian seragam sekolah yang terdiri daripada baju kemeja putih dan seluar pendek.




Baju Berkanji


Baju dan seluar yang dipakai perlu dikanji dan digosok lendik. Ini merupakan suatu tugas sukar kerana pada masa itu tidak terdapat sterika elektrik seperti yang kita gunakan sekarang. Sterika yang digunakan ialah sterika arang; sejenis sterika di mana arang dibakar di dalamnya. Bila ia sudah cukup membara barulah boleh digunakan. Silap langkah, percikan bara api mungkin terjatuh ke baju, lalu baju hangus dan berlubang. Penulis ada mengalaminya sekali dua ketika menggosok baju.




Cara guru berpakain menjadi ikutan kami semua. Waktu itu artis dan bintang filem tidak berapa kuat pengaruhnya kerana kekurangan liputan media tentang mereka. Jadi, guru-gurulah "role model" kami semua. Kalau adapun yang lain hanyalah satu atau dua orang kerani di pejabat daerah atau mata-mata (konstable polis)yang bertugas di balai polis.


Bersanggul Dua




Guru perempuan selalunya bersanggul dua atau rambut mereka berjalin dua. Tiada guru perempuan yang dapat dilihat memakai tudung atau jilbat. Ada juga guru yang memakai gaun. Bila bercermin mata hitam, nampak macam bintang Hollywood. Guru lelaki pula, berseluar putih shark skin berwarna krim dan mereka yang segak sentasa berkasut putih buck skin. Merekalah hero kami semua.




Barangkali elok disebutkan tentang satu perkara yang amat penulis kagumi. Ia adalah mengenai pesta buah-buahan yang diadakan di sekolah dalam musim buah-buahan. Semua murid membawa buah-buahan seperti duku, langsat, manggis dan lain-lain. Guru-guru dan kami makan beramai-ramai dan ianya sungguh meriah. Buah manggis digubah bertangkai-tangkai dan kelihatan amat cantik. Penulis agak amat sukar bagi sekolah tahun sembilan puluhan untuk menganjurkan majlis seumpama itu kerana masyarakat zaman ini tidak seperti masyarakat lima puluhan.




Bagaimanapun, mata pelajaran Jawi amat ditekankan. Itulah sebabnya mereka yang berpendidikan zaman lima puluhan, walaupun belajar di sekolah Inggeris, amat mahir membaca dan menulis Jawi. kami menggunakan buku Hikayat Hang Tuah bertulisan Jawi sebagai buku teks bagi pelajaran Bacaan. Pada sebelah petang pula kami belajar agama di kelas-kelas agama. Jadi kami belajar pagi dan petang di bawah asuhan guru-guru dan guru-guru agama yang amat kami kagumi.




Dulu kami tidak belajar Sains macam sekarang. Kami belajar satu mata pelajaran yang dinamakan Ilmu Kejadian. Kami belajar tentang pembiakan katak, merekodkan sukatan hujan dan seumpamanya.


Apapun, penulis amat suka menegaskan di sini bahawa sebarang bentuk dadah tidak wujud di kalangan remaja ketika itu. Apa yang ada cumalah kaum Cina yang tua-tua menghisap candu.

Sekolah Inggeris Kuala Berang.
Sekolah ketiga Kuala Berang ialah Sekolah Rendah Tengku Ampuan Intan di Batu 24 di sampaing sekolah sedia ada iaitu Sekolah Melayu Kuala Berang dan Sekolah Arab Kuala Berang. Ia dibuka dalam tahun 1955. Penulis merupakan kemasukan kedua dalam tahun 1956. Penulis diterima masuk setelah lulus dalam peperiksaan memasuki kelas Special Malay lalu diterima memasuki Kelas Khas Melayu I (SMC I).


Penulis masih ingat ketika mula-mula belajar semua mata pelajaran, kecuali Bahasa Melayu dan Agama Islan, dalam Bahasa Inggeris. Guru pertama penulis bernama Mr. Mohd Ali. Kami menggunakan buku teks seperti Oxford English Course, Everyday Classics dan lain-lain yang diimpot. Semua buku kami beli di sekolah; tiada langsung buku percuma.




Di antara pelajaran pertama yang masih penulis ingat ialah ketiga membaca dari buku Oxford English Course I, ieks seperti berikut: “...A man…. A pan …..A man and a pan”. Selain itu kami juga belajar puisi. Di antaranya adalah seperti yang berikut: “ Bus Conductor…Ticket please! Ticket! Ting ting a ling….” Penulis yang berasal dari Sekolah Melayu Kuala Berang teruja dan mula meminati Bahasa Inggeris.


Cuma pada minggu pertama persekolahan dalam persekitaran keinggerisan adalah suatu peristiwa yang melucukan berlaku. Penulis menyertai pasukan pengakap dan berada dalam kumpulan yang diketuai Wan Idrus. Beliau setahun lebih awal belajar di situ. Ketika berjumpaan pertama penulis terlewat sampai dan tak tahu apa yang perlu diucap kepada guru pengakap. Wan Idrus telah menyelamatkan keadaan. Beliau mengajar penulis supaya berjumpa guru dan berkata, “Excesue me sir. I’m sorry for being late.” Itulah yang penulis katakan bila berjumpa guru. Guru pengakap tersenyum. Entah-entah apa yang penulis cuba ucapkan itu salah dan tak serupa dengan apa yang di ajar oleh Wan Idrus. Penulis tak tahu.




Guru Besar ketika itu berasal dari Selangor. Talha namanya. Isterinya berpendidikan Agama dan mengajar agama kepada sebilangan besar wanita Kuala Berang. Mereka berduyun-duyun ke batu 24 belajar agama pada hari yang ditetapkan.




Guru-guru lain yang penulis masih ingat ialah Cikgu Kadir, Mr. Yong, Mr. Wan Ismail, Mr. Manaf, Mr. Chua, Mr Lee Mar Chow, Mr. Ching, Mis Rajaunah, Mr. Sidik dan Guru Besar selepas Mr Talha, ia itu Mr T.A. Raman. Pengajaran Mr. T. A. Raman dalam Bahasa Inggeris amat memberi kesan kepada penulis. Pengajaran bacaan melalui buku Everyday Classics dengan cara yang penuh dengan aksi dan an menjadikan penulis rajin belajar Bahasa Inggeris. Alhamdullillah, 40 tahun kemudian, kenalan di Amerika, ketika penulis ke sana, agak terperanjat dan kagum dengan Bahasa Inggeris yang penulis tuturkan. Mereka tanya belajar di mana. Penulis jawab di sekolah Malaysia. Penulis amat sedih bila memikirkan kemampuan berbahasa Inggeris pelajar sekarang.









Jemput datang semula untuk posting selanjutnya.......

No comments: