Thursday, February 21, 2008


Harimau, Singa, Beruang, Tapir, Kuda dan lain-lain

Kuala Berang di datangi oleh pasukan pertunjukan sarkas buat pertama kalinya dalam tahun 1956. Setiap orang teruja melihat ketibaan gajah dan kenderaan yang membawa harimau, singa, beruang, tapir, kuda dan lain-lain. Beratus orang mengerumni sangkar haiwan liar tersebut bila ditempatkan di satu sudut khas tepi padang bola di mana sirkas itu akan membuat pertunjukan. Kadang-kadang harimau dalam sangkar itu mengaum dan menerkam ke arah kami. Terperanjat. Menakutkan.

Khemah besar sebesar hampir tiga per empat padang bola didirikan oleh pekerja sarkas di kelilingi khemah kecil tempat tinggal kakitangan dan haiwan, kecuali gajah yang di letakkan di luar kawasan berdinding zink. Dinding zink tersebut dipasang sekeliling khemah besar dan kecil dengan satu pintu besar untuk dijadikan pintu masuk penonton.

Di hadapan pintu masuk ada dipasang ‘merry-go-round’ dan lain-lain permainan untuk kanak-kanak.

Pekan Kuala Berang menjadi cukup meriah kerana kehadiran sarkas tersebut. Pada waktu malam lampu berwarna warni dipasangkan dengan banyaknya di samping keriuhan bunyi muzik dari pembesar suara sarkas. Cuba bayangkan. Kuala Berang sebuah pekan tanpa elektrik. Penduduk Kuala Berang seolah-olah terpukau dan berada di alam khayalan waktu itu.

Bila pertunjukan dimulakan tempat duduk yang bertingkat-tingkat dan kerusi dipenuhi penunton dari jauh dan dekat. Apa yang amat menarik perhatian penulis ialah dua buah motosikal yang dipandu dalam sebuah kurungan berjaring bulat seperti gelob. Penunggangnya memandi laju bersilang tanpa belaga. Cemas. Aksi mereka mecemaskan.

Penulis ada satu cerita untuk dikongsikan mengenai sarkas itu. Pertama ialah mengenai penulis sendiri yang bertugas di sarkas sebagai penjual minuman. Penulis membawa dulang yang dipenuhi kelas minuman air oren dan menjajanya di sekeliling khemah. Penonton memanggil penulis bila mereka perlukan minuman untuk dibeli dan diminum. Penulis mendapat upah mengikut jumlah jualan yang dibuat. Penulis rasa seronok kerana mendapat wang setiap malam. Malu? Tidak, penulis tidak merasa malu. Malah, menguntungkan kerana penjual minuman tidak dikenakan tiket untuk memasuki dan menonton sarkas. Bila dikenangkan, hingga hari ini pun, penulis merasa kagum dengan usaha penulis seumpama itu ketika berumur kira-kira sebelas tahun.

No comments: