Monday, February 18, 2008



Air Diganti Kencing


Apek tukang kayu sudah agak tua. Apek selalu berseluar pendek dan kurus. Bengkel perabotnya tak jauh dar pasar lama dan kedai Pak Mat Gemuk. Beliau pendatang baru sebab sewaktu penulis dalam darjah satu, Apek belum berniaga di situ. Tangannya sudah terketar-ketar, tapi masih mampu bertukang. Kemahirannya agak tinggi. Beliaulah yang membina sebuah kereta lembu baru untuk kegunaan Majlis Daerah. Penulis melihat sendiri kerja-kerja membina kereta lembu itu; dari kerja membina tayar kayu yang dilingkari besi hingga ke proses membina badannya. Ia sungguh sukar dan penulis biasa tak akan berupaya membina kereta lembu seumpama itu.

Hobi Apek agak luar biasa. Apek ada alat menghisap rokok yang kami diberitahu dipanggil madat. Apek hisap rokok menggunakan madat. Madat diperbuat daripada seruas buluh setinggi buluh tukil tembakau; di tengah ditebuk lubang untuk dipasangkan paip kecil sebesar kelingking. Air dituangkan ke dalam buluh madat itu kira-kira setengah penuh, menenggelamkan pangkal paip kecil.

Apek menggunakan madatnya itu dengan mencangkung dan bersandar pada tiang hadapan bengkelnya. Sedikit tembakau diletakkan pada hujung paip kecil dan dinyalakan. Apek memasukkan keseluruhan bibir dan mulutnya ke dalam lubang di bahagian atas buluh dan menyedut (hisap) asap dari tembakau yang menyala itu. Asap naik ke kerongkongnya menerusi air dalam buluh hingga mengeluarkan bunyi yang menggelegak. Apek lali seketika. Tebakau baru diletakkan dan dinyalakan. Sedutan kedua diulang. Apek tersandar lagi ke tiang dan lali. Begitulah seterusnya. Kami asyik memerahtinya kita kali pertama kami melihat Apek menghisap madat. Lama kelamaan perkara itu tidak menarik perhatian kami lagi. Cuma akal mereka yang lebih dewasa agak menakutkan penulis. Ada di antara mereka ini, penulis tak tahu siapa, telah membuang air dari madat Apek dan kencing di dalamnya. Ini berlaku kerana Apek sentiasa membiarkan buluh madatnya itu tersandar di tiang di mana beliau menghisap madatnya itu. Kecuaian Apek telah mengundang bencana. Tak tahulah apa reaksi Apek bila menghisap madat yang mengandungi air kencing selepas itu.

Nasib baik, ketika itu, cuma Apek seorang sahaja yang ketagih madat; tidak seperti hari ini di mana terlalu ramai mereka yang ketagih dadah. Sebarang jenis dadah tidak pernah kedengaran atau diketahui umum kecuali candu yang digilai hanya oleh apek-apek yang tua di kalangan masyarakat Cina. Jadi, polis zaman itu hanya memerangi penagih candu yang terdiri daripada apek-apek tua, bukannya remaja seperti hari ini.

Pencegahan Maksiat

Ibrahim, Suami Hajar, peniaga di pasar menyelamatkan seorang perempuan dari menjadi mangsa apek-apek tua. Malam itu bulan agak terang. Penghuni pekan sudah mula tidur agaknya. Ibrahim dan Abu Bakar Pak Wea sedang berjalan-jalan dalam pekan yang sepi. Bila tiba di hadapan rumah Apek tukang kayu, mereka mendengar suara perempuan dari dalam rumah Apek. Mereka menghampiri rumah yang diterangi pelita dengan cahayanya keluar melalui celah-celah dinding papan. Mengsyaki sesuatu yang tidak baik sedang berlaku mereka intai melalui celah-celah pintu. Memang benar. Di dalam seorang perempuan yang mereka kenali sedang dikerumuni oleh empat orang apek tua.

Demi mengelak berlakunya pergaduhan, Ibrahim dan Abu Bakar menggunakan helah dan berjaya menarik perhatian perempuan tersebut ketika apek-apek itu makan di meja. Dengan berhati-hati perempuan tersebut dapat dibawa keluar dan dihantar pulang ke rumahnya di Batu 24. Apek-apek itu terpinga-pinga bila mengetahui perempuan mereka hilang. Ibrahim dan Abu Bakar puas kerana satu kemungkaran dapat dielakkan daripada berlaku.

Peristiwa ini memberikan gambaran bahawa pada waktu itu tiada usaha daripada pihak kerajaan penjajah untuk mencegah maksiat. Barangkali istlah ‘Pencegah Maksiat’ belum wujud ketika itu.

No comments: