Wednesday, September 25, 2013

 
Ini gambar 1960-an Kuala Berang kot; memandang ke arah sungai 
Klik gambar dan semak.  ( Sumber: Izang Md. Terima kasih )
 

Another interesting video about Kuala Berang
(Sumber: Ahmad Fares - YouTube, TQ)


(Sumber: Pakdindah - YouTube)

Nampak tak pulau di tengah sungai? Di situlah penulis dan kawan-kawan bermain permainan berperang olok-olok dengan menggunakan tanah liat pada tebing pulau itu sebagai peluru. Kami baling tanah liat kepada musuh yang di seberang pulau. Ah....amat seronok. Sekarang pulau itu sudah tiada di situ lagi.
 Kuala Berang 1950-an
Perhatian:  Kelihatan yang berbaju dan berseluar putih adalah Dato' Abd. Rahman Kassim.


Kedudukan Tempat-tempat Lama Dalam Peta Baru Kuala Berang
  • A. Balai Polis lama  yang kemudian dijadikan Sekolah Arab.
  • B. Pejabat Daerah dah Mahkamah.
  • C. Sekolah Melayu bangunan papan.
  • D. Bukit yang di puncaknya ada tiang bendera dan banyak pokok berangan.
  • E. Bukit kecil dan di puncaknya bangunan pengakap.
  • F. Sekolah Melayu bangunan atap.
  • P. Rumah saya (penulis) dan Kedai Gunting Jaafar Embong.
Gambar lama Kuala Berang
(Sumber: https://www.facebook.com/pages/Kuala-Berang/104108142958977)
Terima kasih.

Cikgu yang mengiringi Tun Razak itu adalah Cikgu Abu Bakar Ibrahim,
guru pengakap kepada penulis. 
Penulis masih ingat ketua petrol kepada penulis. Beliau adalah Razak Yaacob.

Sunday, September 22, 2013

Kuala Berang Kini

Digigit Anjing.

Awang, Salim dan Latif adalah anak Che Mat Forest. Mereka tinggal dekat masjid, tidak jauh dari rumah penulis; hanya dipisahkan oleh sebidang tanah kosong yang kami jadikan padang bola kami. Paling seronok bermain bola di situ adalah ketika hujan lebat. Penulis dan kawan-kawan merasa seronok bila terjatuh walaupun terkena najis lembu yang sudah bercampur dengan air hujan. Salim kawan sekelas penulis dan sama-sama belajar mengaji di rumah Pak Iman dan diajar oleh isteri Pak Iman. Kadang-kadang Pak Iman sendiri yang mengajar. Apa lagi, rotan di tanganlah. Dia juga yang mengajar cara bersolat. Malangnya penulis tak lama di situ. Salim dan penulis berpakat untuk berhenti mengaji kerana nak memasuki sekolah agama petang di Sekolah Melayu.

 Kuala Berang 1950-an

Bila memasuki sekolah agama petang kami terus ditempatkan dalam darjah dua. Itulah kali pertama penulis bertemu Ustaz Mohd Radzi dan Ustaz Sulong yang bertugas di situ. Bila naik darjah 3 penulis dilantik menjadi pembaca doa harian sekolah setiap hari sebelum memulakan pelajaran. Alhamdulillah. Pengalaman ini tak pernah penulis lupakan. Hubungan dengan Ustaz Mohd Radzi amat terkesan di jiwa penulis. Beliau jugalah ustaz yang ditugaskan mengajar agama pada setiap hari Sabtu di Sekolah Inggeris Tengku Ampuan Intan di mana penulis belajar dalam kelas Special Malay selama dua tahun. Sampai sekarang pun penulis tak pernah lupakan beliau. Semoga Allah tempatkan arwah bersama mereka yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah.

Suatu malam Awang, abang sulung Salim, dikejar anjing inspektor polis yang tinggal di kediamannya yang terletak di belakang pejabat daerah. Beliau seorang berketurunan India. Anjing besarnya itu berwarna hitam dan selalu kelihatan mengejar landrover polis sebelum melompat ke atasnya kerana ingin mengikuti tuannya bila ditinggalkan. Kami semua amat takutkan anjing tersebut. Pada malam itu Awang telah menjadi mangsanya. Peha dan seluarnya terkoyak dan berdarah. Kasihan Awang. (Alangkah baiknya jika anak buah Awang atau Salim dapat kirimkan gambar lama mereka untuk dishare)

Terengganu Bus Company Limited

Syarikat Bas Terengganu berhad menyediakan dua buah bas untuk berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang. Tambang yang dikenakan kalau tak silap cuma $1.25 sehala. Jalan dari Kuala Berang ke Ajil masih jalan tanah merah dan belum bertar. Bayangkanlah keadaan jalan itu dalam musim hujan.

Bas yang digunakan itu ada kepala di mana engine ditempatkan. Pada waktu pagi dan waktu tengah hari bas itu jugalah yang digunakan untuk membawa kami pergi dan pulang dari sekolah Inggeris Tengku Ampuan Intan di Batu 24. Tambang bas ke sekolah waktu itu cuma 5 sen sehala yang jaraknya 1 batu dari pekan Kuala Berang. Bila bas rosak atau mogok kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 batu ke sekolah beramai-ramai. Seronok juga berjalan sambil berpayung bila  musim hujan. Keseronokan zaman kanak-kanak subur dalam ingatan.

Antara pekan dan Batu 24 tak ada apa-apa bangunan kecuali satu atau dua buah rumah kampung dalam hutan dan pokok getah di sepanjang jalan. Wajah yang digambarkan itu sudah tidak wujud lagi sekarang. Hutan bangunan telah menggantikan hutan pokok getah.

Saturday, September 21, 2013

Penulis berdiri no 1 (kiri) dalam barisan menyambut 
YAB Tun Abdul Razak di maktab (1965)

Terkenang Semasa Dulu.

Ketika menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Allahyarham YAB Tun Abdul Razak mengunjungi maktab dan penulis berbaris menyambutnya. Turut sama dalam lawatan itu adalah YAB Menteri Besar ketika itu iaitu Tan Sri Ibrahim Fikri dan Ketua Pengarah Pelajaran Aminudun Baki.

Waktu itu tiada seorangpun pelajar perempuan mengenakan tudung atau jilbat. tali leher kamipun lebarnya hanya seinci.