Tuesday, August 17, 2010

Fiat 600


     
Dalam tahun 1968 penulis mengajar di Tebing Tembah, Paka, Dungun bersama isteri yang sedang mengandungkan anak sulung kami. Kami memiliki kereta pertama kami, sebuah Fiat 600 yang berharga RM1,800 ketika dibeli. Kereta terpakai itu berkhidmat untuk kami selama kira-kira  dua tahun. Kami menggunakanya untuk berulangalik dari Kuala Terengganu ke Paka dan pergi balik ke sekolah di Tebing Tembah ketika kami tinggal di Dungun. Baktinya kepada kami tidak akan dilupakan. Kami pernah masuk ke kawasan pertanian yang jauh di pendalaman Paka untuk bertemu ibu bapa murid yang mengikuti ibu bapa pada musim menuai dan tidak hadir ke sekolah. Bayangkan, dalam hujan ribut kami meredah kawasan yang hanya boleh dimasuki melalui jalan tanah yang becak. Alhamdulillah, khidmatnya tidak mengeciwakan.

      Oleh kerana enginenya diletakkan di belakang, kerapkali ia membawa masalah dari segi kepanasan engine. Banyak keadaan di mana air dalam radiatornya mendidih. Bagaimanapun itulah kenderaan kami yang pertama dan menimbulkan banyak kenangan manis yang tak mungkin dapat kami lupakan seumur hidup. Pernah ibubapa penulis mengikuti perjalanan kami ke Paka dan terpaksa mengalami keadaan di mana paip breknya pecah dan menyebabkan brek tidak perfungsi langsung. Penulis tidak sanggup memandunya lagi kerana takut. Ia berlaku di Merhcang. Bapa penulis, seorang pemandu semenjak muda, menyelamatkan keadaan. Beliau mengambilalih tugas memandu tanpa brek dari Merchang hingga ke Dungun di mana brek diperbaiki.

       Penulis bersama isteri selalu memancing di kawasan tebing sungai berhampiran jambatan Paka. Ia amat penulis sayangi dan dijaga dengan amat rapi. Ia cantik dan bila diletak di tempat memancing ia menarik perhatian ramai.

       Keunikan Fiat 600 penulis adalah tentang cara menghidupkannya. Sebatang giar kecil kira-kira empat inci panjang antara dua tempat duduk hadapan, hendaklah ditarik selepas kuncinya di buka.


Murid tahun 6, 1968 SK. TEBING TEMBAH, PAKA

       Pada masa yang sama penulis juga memiliki sebuah skuter jenis Vespa 150 Super berwarna kuning keputihan. Ia merupakan kenderaan kedua penulis ketika itu


Tuesday, April 13, 2010

Awal Lima Puluhan

Ayah Wan sedang mendukung sepupunya.
Berhampiran sekolah atap Kuala Berang terdapat kawasan berpaya; di seberangnya rumah Mak Ku dan rumah Tuan Seri. Di paya ini juga terdapat ikan pelaga. Penulis sering ke situ untuk mencari dan menangkap ikan pelaga. Bila terdapat buih menandakan ada ikan di bawahnya, penulis menggunakan dua tapak tangan untuk menangkapnya. Alangkah gembiranya hati penulis yang baru berusia kira-kira sembilan tahun ketika itu bila dapat melihat ikan pelaga menggelempar di tapak tangan. Lumpur paya yang masam airnya menjadi sesuatu yang biasa bagi penulis dan rakan-rakan.
(1952: Penulis, Ayah Wan, sedang mendukung sepupunya)