Monday, February 18, 2008

Pak Leh Buta
Kebesaran Allah sesungguhnya dapat dilihat di mana-mana. Di Kuala Berang ada Pak Leh Buta. Beliau bukan sahaja buta matanya, tetapi juga buta huruf; tak mampu menulis dan membaca. Rumahnya di pertengahan tebing sungai yang curam dan tinggi itu, betul-betul di bawah dua pokok durian besar. Tidak jauh dari rumahnya terdapat landasan troli pengangkut pasir yang telah ditinggalkan dan menjadi sejarah.
Rumah Pak Leh menjadi pusat perdagangan hasil pertanian dari kampung-kampung sekitar sebelum diedarkan ke bahagian pekan. Penulis dapat melihat kecekapan Pak Leh berniaga. Lagaknya seperti orang celek. Ramai petani yang datang dengan hasil pertanian seperti pisang, labu, nenas, sayur sayuran dan lain-lain bergantung harap sepenuhnya kepada Pak Leh. Pak Lehlah yang memborong hasil pertanian tersebut.


Pak Leh mempunyai keistimewaan. Cara beliau melayan orang yang berkunjung dan berurusan dengannya amat di senangi. Percakapannya petah dan lancar serta meyakinkan. Setiap orang suka mendengarnya. Itulah sebabnya mereka yang datang tidak terus pulan setelah berurusan, malah terus duduk dan bersembang beramai-ramai di situ. Rumah Pak Leh menjadi tempat bersantai. Mereka yang mahu menyeberangi sungai ke Gaung selalunya menjadikan rumah Pak Leh tempat menunggu perahu penambang.

Pak Leh, walaupun tidak dapat menggunakan matanya, tidak menghadapi masalah kewangan dan dapat menjalani kehidupan yang terurus bersama isterinya. Malangnya, hari ini, orang celek dan berpelajaranpun kadang-kadang tidak mampu berusaha seperti Pak Leh lalu menangur.

Durian Kerajaan

Kawasan tebing dan pinggir sungai Kuala Berang merupakan kawasan di mana banyak ditumbuhi pokok durian yang dimiliki oleh kerajaan. Pokok yang banyak itu tentulah mengeluarkan banyak buah ketika musim durian tiba. Siapa yang menguruskannya? Tiada. Tiada siapa menguruskannya. Apa jadi pada buah durian yang luruh? Dipungut. Oleh siapa? Kami, kanak-kanak dan sesiapa sahaja. Ia menjadi kegemaran kami semua. Setiap petang pada hari persekolahan kami meronda kawasan tebing sungai mencari durian dari rumah Pak Leh membawa ke pengkalan Kampung Buluh di sebelah hulu.

Durian yang kami dapat dibawa pulang untuk dimakan, bukan untuk dijual. Penulis masih ingat, ketika mencari durian, penulis juga mencari pucuk paku untuk dibawa pulang sebagai sayur. Inilah zaman dan ketika yang penulis rasa amat menyeronokkan. Mahu rasanya, jika dapat kembali semula ke zaman itu agar dat pergi mencari durian dan pucuk paku semula. Kawasan pokok durian itu barangkali telah tiada lagi di stu kerana dihimpit pembangunan. Penulis akan ke Kuala Berang semula dan mecari mercu tanda tahun lima puluhan yang masih kekal. InsyAllah penulis akan rakam gambarnya untuk tatapan semua.

No comments: