Friday, February 22, 2008



Cari Ikan Pelaga

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Penulis baru sahaja pulang dari Kuala Berang dalam usaha mengenalpasti tempat-tempat dan bangunan lama yang masih kekal hingga ke hari ini. Sungguh malang. Penulis hanya dapat melihat bangunan Pejabat Agama, walaupun telahpun diubah dan dibaik pulih, ia masih berada di tempat asalnya. Tiada lagi mercutanda seperti bukit yang pernah penulis ceritakan dulu di tempat asalnya; kedua-dua bukit yang pernah penulis ceritakan itu telah ditarah habis hinga menjadi tanah rata. Bangunan di puncak bukit DO telah dilindungi pokok besar dan hanya nampak bumbungnya sahaja bila dipandang dari bawah. Walaupun telah berubah wajah, Balai Polis Kuala Berang yang baru masih di lokasi yang sama; begitu juga rumah tumpangan. Kedua-duanya masih di tempat asal.

Penulis pergi hingga ke seberang sungai dan turun berhenti di tebing sebelah Kampung Gaung. Dari sana penulis melihat ke arah pekan dan dapat melihat kawasan di mana penulis mencari durian, mandi sungai dan berkhemah. Cuma, kawasan yang dulunya dara telah ditarah menjadi taman rekerasi. Kawasan berpasir telah menjadi sempit dan pulau di tengah sungai telah menjadi terlalu pendek; tidak panjang seperti dahulu (Lihat gambar).

Pulau Che Awang yang setanah dengan Kampung Buluh, dapat dilihat dengan jelas dari Gaung. Dan, penulis nampak ada kereta masuk ke situ; sedangkan dahulu penulis pernah ke sana bersama nenek berjalan kaki melalui tanah ladang yang ditenggala setelah menyeberangi sungai dengan menaiki perahu penambang. Bayangkan betapa susahnya nenek berjalan kerana nenek berterompah. Terompah nenek agak unik, kerana ia bertombul dan pemakainya mengepit tombol itu dengan jari ibu kaki dan jari sebelahnya.

Namun begitu, tempat penulis dan kawan-kawan mencari ikan pelaga masih wujud sehingga hari ini. Paya Batu 23 terletak kira-kira dua batu dari pekan Kuala Berang. Kami menaiki bas kuning merah yang dipandu oleh Mokhtar menantu Pak De Gemuk, untuk ke situ. Awal pagi penulis dan kawan-kawan menuju ke paya Batu 23 dengan berseluar hanya pendek serta memakai t-shirt lusuh dan kain pelekat yang disandang bersilang ‘X’ di dada. Penulis rasa kami tak berkasut, kerana nak meredah paya.

Bila tiba di paya kami tanpa rasa takut memasuki kawasan paya berair cetek sedalam buku lali atau paling dalam hanya ke paras betis. Waktu itu masih banyak tunggul-tunggul besar kesan ditebang dan terbakar. Saat paling gembira ialah bila kami berebut-rebut mencari buih ikan pelaga. Di bawah buih itulah ikan pelaga bersarang. Bila bertemu buih, kami tanggut ikan dengan dua tapak tangan. Apa lagi, melompat-lompatlah ikan yang ditangkap sebelum dimasukkan ke dalam botol yang kami bawa. Kami biasanya berada di paya hingga terasa panas terik matahai sebelum pulang, juga dengan menaiki bas. Kalat tak silap tambangnya sehala Cuma 5 sen.

Ikan pelaga yang kami dapat diisikan dalam botol; satu botol satu ikan. Penulis menyusunnya sebaris di dinding zink kawasan perigi rumah nenek. Makanannya ialah jentik-jentik yang dikumpulkan dari bekas air bertakung, atau cacing longkang yang kecil dan berwarna merah. Ia senang didapati dalam longkang tanah yang berair. Cara memasukkan jentik-jentik atau cacing ke dalam botol ialah dengan mengambilnya dari bekas menggunakan hujung bulu ayam yang dibuang bahagian lebarnya.

Menyebut tentang cacing longkang ini, ada di antara kami mencari dan menjualnya kepada tawkeh Ah Boon, jiran Haji Wan Chik, yang juga sukakan ikan pelaga. Beliau tawkeh getah dan mampu membayar dengan harga yang agak tinggi. Penulis pernah memasuki bahagian belakang rumahnya atas dasar sama-sama meminati ikan pelaga, dan melihat koleksi ikan pelaganya. Ada banyak ikan pelaga di situ; beratus ekor ramainya.

No comments: