Saturday, February 16, 2008

Lenyapnya Kuala Berang Kami

Lenyapnya Kuala Berang Kami

Mak Yam Sate

“Mahu berapa banyak cok (cucu)?” tanya Mak Yam dalam bahasa Indonesia yang pekat. Mak Yam dan suami Pak Bujang berasal dar tanah seberang. Mereka datang ke Malaya menyertai rombongan bangsawan sebagai pelakon. Pak Bujang pemain biola yang handal. Mereka kekal di Kuala Berang bila rombongan bangsawan pulang tanpa mereka.

Mak Yam dan suami meneruskan hidup dengan berniaga sate. Bahan yang hendak dijual dikandar dari rumah sewanya di Kampung Rahmat menggunakan alat mengandar dalam dua bekas kotak kayu, sama seperti yang dapat dilihat dalam filem-filen Indonesia, ke hadapan kedai Cermin Mata. Jangan silap faham. Kedai Cermin Mata di sini bukan kedai menjual cermin mata. Ia sebenarnya sebuah kedai kopi yang dimiliki oleh Cermin Mata, seorang lelaki Cina dan nama Cermin Mata merupakan gelaran yang diberikan kepada tuan punya kedai kopi tersebut kerana beliau bercermin mata tebal. Kedai Cermin Mata ini istimewa kerana roti bakarnya yang disapu serikaya buatan sendiri.

Depan kedai inilah Mak Yam dan suaminya, Pak Bujang, berniaga. Dua kotak satenya itu diletakkan di bahagian hadapan kedai dan letaknya agak lebih ke kiri. Tempat membakar sate diletakkan di tanah luar kaki lima. Pak Bujang membakar sate sambil duduk di kekuda kayu setinggi lima atau enam inci. Berbaju khaki beliau sudah agak berumur dan beruban; berbadan kurus dan kuat merokok. Rokoknya terpasang di puting tanduk dan sentiasa berasap di bibirnya. Kedua-dua tangannya bebas mengipas dan menyusun sate di atas bara.

Jarak sepintu dari kedai Cermin Mata adalah kedai Pak Mat Leno yang menjual roti canai. Lupa penulis nyatakan yang sate Mak Yam dijual untuk sarapan pagi sama seperti roti canai. Jadi peminat sate boleh memilih sama ada hendak makan sate di kedai Cermin Mata dengan ketupat dan roti bakar atau di kedai Pak Mat Leno dengan roti canai. Kuah sate memang sedap jika digandingkan dengan roti bakar atau roti canai.

Mak Yam ada menyediakan sejenis sate yang dipanggil sate tulang. Ia tulang ayam yang dilumatkan dan di padatkan dengan daging. Rasanya cukup sedap. Penulis tak pernah berjumpa sate tulang lagi hingga kini setelah meninggalkan Kuala Berang. Barangkali hanya Mak Yam sahajalah yang menyediakan sate tulang di dunia. Entah. Mungkin sate tulang ada di tempat yang belum pernah penulis sampai. Penulis selalu beli sebungkus dan dibungkus dalam daun pisang yang di dalamnya mengandungi ketupat yang telah dipotong kecil, kuah sate dan secucuk sate yang lidinya terjulur keluar. Harganya cuma 15 sen.

Haji WAN OMAR BIN MAHMUD

No comments: