Monday, April 28, 2008

“Demang Leng”


Saya masih dalam darjah 5 di Sekolah Melayu Kuala Berang dalam tahun 1956. Yusof, dari Kampung Tanjung Putat, sentiasa bersongkok. Dia berbadan kecil dan selalunya pucat. Dia selalu sakit dan kerap tidak hadir ke sekolah. Dia sangat baik dan disenangi ramai. Bila dia tidak hadir, guru akan bertanya mengapa. Secara sepontan ramai yang sekata menjawab, “Demang leng, cikgu!”.

“Demanm apa?” tanya cikgu, buat-buat tak faham.

“Demang Leng, cikgu!”, kami jawab beramai-ramai.

“Demang Leng” bermaksud demam leng (Alat menyukat: Dua Leng satu cupak). Ini bererti seseorang yang dikata demam leng itu demam tetapi banyak makan nasi sehingga satu leng banyaknya.

Bagaimanpun kami sebenarnya tidak berlaku adil kepada Yusof kerana Yusof sebenarnya betul-betul sakit. Bila Yusof hadir setelah beberapa hari tidak datang ke sekolah, dia kelihatan lebih pucat. Begitulah selalunya.

Saya tak pernah jumpa Yusof selepas zaman persekolahan di Sekolah Melayu Kuala Berang.

Saya benar-benar berharap agar suatu hari nanti saya dapat berjumpa Yusof lagi. Tentu seronok jika dapat bercakap mengenai “demang leng” dengannya. Kadang-kadang terfikir juga; untuk pergi ke Kuala Berang sekali sekala dan berjalan-jalan tanpa tujuan atau bersiar-siar di sekitar pekan; berlagak macam orang asing dan lihat sama ada orang Kuala Berang dari kalangan rakan sebaya yang masih mengenali penulis. Tahun terakhir penulis di Kuala Berang adalah 1959.