Thursday, February 21, 2008



Hampir Dilanyak Kerbau Liar




Kerana terlalu rindu sungai di tempat kelahiran, penulis dan Ho Su Ting mengajak tiga orang kawan baru dari Kuala Terengganu, Anuar, Che Wan Sulaiman dan Syed Hassan, mengayuh basikal dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang, 25 batu jauhnya, semata-mata untuk berada di pinggir air sungai dan berkhemah. Ini berlaku setelah Su Ting dan penulis bersekolah di Kuala Terengganu. Kami mendirikan dua buah khemah di kawasan berumput kerana kawasan berpasir ditenggelami air. Kami berlima merasa amat seronok kerana dapat mandi dan memancing. Kawan dari Kuala Terengganu itu nampaknya sungguh seronok kerana itu pengalaman baru bagi mereka; selain Su Ting dan penulis dapat melepaskan kerinduan terhadap sungai.

Kawan-kawan lama dari Kuala Berang menyertai kami pada malam itu. Kami memasak sup itik yang dibawa oleh mereka dan makan bersama. Kami menyanyi dan bergurau senda. Malam dah mula larut. Kawan-kawan Kuala Berang sudah beredar kerana mengantuk. Kami tidur dalam khemah. Penulis tidur bersama Syed Hassan dan Che Wan Sulaiman manakala Su Ting tidur bersama Anuar. Waktu berbaring untuk tidur kami masih teruskan gurau senda dan bercakap hingga pukul dua pagi. Selepas itu, wakatu kami antara tidur dan sedar, suatu bunyi yang amat kuat kedengaran. Bunyi datang dari arah sungai. Bunyinya macam ribut taufan atau bunyi air terjun Niagara di sempadan kanada dan Amerika Syarikat. Sungguh kuat. Kami menjadi cemas.
Walaupun bulan terang, kami tak berani keluar dari khemah. Tiba-tiba bunyi itu berhenti. Senyap. Kama lega.

Lega kami hanya sementara. Bunyi ribut itu di ganti dengan bunyi ratusan tapak kaki haiwan liar yang menuju ke arah kami. Kami bertambah cemas. Kami berbisik-bisik sahaja. Akhirnya, kami dikelingi oleh bunyi rumput diragut oleh ramai haiwan liar. Apa lagi, rupanya kami dikelilingi kerbau hulu yang tadinya berenang menyeberangi sungai beramai-ramai. Kami menintai keluar dan melihat begitu ramai kerbau; hapir seratus ekor ramainya, sedang meragut rumput di sekitar khemah kami.

Apa yang kami takuti tidak berkau. Kami amat takut kalau-kalau khemah dan kami dilanyak oleh kerbau liar pada malam itu. Syukur ia tidak berlaku.

Kami tak dapat tidur pada malam itu. Pukul empat atau lima pagi barulah kerbau yang ramai itu beredar meninggalkan kami dengan menyeberangi sungai ke arah dari mana mereka datang; mungkin dari Gaung atau kampung Pauh yang lebih jauh.

Penulis rasa Anuar, Che Wan Sulaiman dan Su Ting Tentu masih ingat peristiwa yang amat indah ini kecuali Syed Hassan, seorang jurutera, kerana Arwah telah meninggalkan kami semua beberapa tahun yang lalu. Semoga Allah cucuri rahman ke atas rohnya. Alfatihah.

No comments: