Monday, March 31, 2008

Menyumpit Cicak

Saya ingin ceritakan sejenis hobi kami yang pelik tetapi benar. Menyumpit cicak. Ya! Kami menyumpit cicak.


Che Hashim, adik Che Omar, memiliki sebatang besi paip kecil yang lurus. Abagnya, Che Omar, seorang pengusaha dan pemilik kedai bahan-bahan binaan serta mempunyai bengkel membuat atap dan batu nesan daripada simen. Che Hashim bekerja di bengkel abangnya. Jadi, beliau mempunyai akses kepada bahan untuk membuat sumpitan daripada batang paip itu.


Jarum digunakan sebagai peluru sumpitan untuk menyumpit cicak. Manakala gentelan tanah liat digunakan sebagai peluru untuk menyumpit burung atau untuk latihan ketepatan sumpitan. Bila menggunakan jarum, Che Hashim membalut pangkalnya dengan kapas.


‘Pemburuan’ dijalankan pada waktu malam. Di mana? Di kedai kopi Ah Boon, Kedai Kopi Ah Pang dan di Kedai Kopi Cermin Mata. Kami pergi ramai-ramai ke kedai dan menyumpit cicak di siling kaki lima kedai. Hanya Che Hashim yang mahir menyumpit. Saya hanya mengikuti dan melihatnya sahaja. Bila terkena sumpitan, cicak tidak jatuh. Cicak akan tercucuk jarum dan melekat pada lantai kayu tingkat atas rumah kedai. Tuan punya kedai tidak menyukai kehadiran kami dan biasanya disuruh beredar kerana mengganggu pelanggan kedai, walaupun kami tidak masuk ke dalam kedai. Bila ini berlaku, kami beredar ke kedai lain pula.


Saya rasa kanak-kanak sekarang tidak begitu lagi sekarang ini. Mereka tentu lebih seronok bermain video games atau footsal.

Sunday, March 16, 2008


Bersunat Cara Lama


Saya bersunat ketika dalam darjah tiga di Sekolah Melayu. Cikgu Isa adalah guru darjah saya ketika itu. Majlis bersunat itu diadakan di kampung ibu sempena perkahwinan ibu saudara saya, idik kepada ibu.

Majlis bermula dengan majlis mengadap “nasi semangat” sebaik selesainya persandingan ibu saudara dan suaminya. Sebelum itu, abang saya , Wan Ghani dan seorang kawan bernama Samad serta saya sendiri di pakaikan pakaian yang cantik siapo dengan songkok yang dihiaskan dengan rantai emas. Kami dibawa masuk dan duduk di pentas persandingan serta ditonton oleh semua hadirin. Takut dan malu bercampur-campur. Majlis selesai setelah semua orang berpuas hati tanpa memikirkan perasaan kami yang akan di khatamkan pada pagi esoknya.

Msa yang ditunggu telah tiba. Waktu pagi telah tiba. Kami dimandikan dan masih ingat disuruh minum air rambut ibu. Ramai orang berada di tengah rumah datuk termasuk mudin. Abang saya disuruh masuk dan saya menunggu di luar di mana tiga tilam disediakan untuk kami bersama Samad. Perasaan takut menguasai diri. Saya pucat tidak berdarah. Abang sulong dan lain-lain mententeramkan saya. Dari luar saya saya dengan macam-macam bunyi ketika abang saya diuruskan oleh mudin. Bila selesai, abang keluar dan khabarnya banyak darah keluar. Saya menjadi lebih takut kerana giliran saya sudah tiba. Saya memberanikan diri dan dibawa masuk ke dalam. Saya didudukkan atas sebuah kekuda kayu yang di bawahnya ada batang pisang. Tangan dan kaki saya dipegang dan kepala saya didongakkan ke atas. Kemaluan saya mula terasa perit kerana ditarik tersa seperti di kepit sesuatu. Saya takut untuk melihatnya. Suara-suara pujukan kedengaran dari semua orang, termasuk pujukan dari mudin. Tiba-tiba kulit hujung kemaluan dipotong dengan pisau dan peritnya amat terasa. Saya hampir pitam. Setelah dibalut, saya dibawa ke tilam dan dibaringkan terlentang dengan diletakkan bokor abu di bawah kemaluan untuk menadah darah yang mungkin keluar. Bahagian atas peha ditutup dengan kain yang digantung dengan tali supaya tidak terkena kemaluan yang baru dipotong itu.
Ramai yang datang mengerumuni saya dan saya terbaring di situ ketakutan. Kesakitan.
Giliran Samat paling tragik kerana kekuda yang digunakan telah patah bila Samad melompat kesakitan ketika disunatkan. Ini berlaku kerana Samad jauh lebih tua daripada abang dan saya. Beliau sudahpun meningkat remaja ketika itu.

Mujurlah semuanya selamat. Luka saya cepat sembuh kerana ayah mendapatkan ubat dari bandar Kuala Terengganu walaupun setiap pagi luka itu dibasuh di sungai menggunakan air sungai sahaja. Bila dah sembuh saya pulang semula ke Kuala Berang untuk meneruskan persekolahan.

Sekarang ini semuanya dilaksanakan dengan cara yang lebih bersih dan mengikut kaedah perubatan yang moden. Kanak-kanak sekarang amat bertuah kerana adanya semua itu.
Saya masih ingat, suatu ketika saya terpijak paku berkarat yang menembusi tapak kaki saya. Tahukah apa yang dibuat oleh bapa? Disumbatnya belacan dan dibalut dengan kain buruk. Anehnya, luka itu sembuh dengan eloknya tanpa masalah. Jika tidak masakan saya masih ada untuk menulis begini walaupun sudah bergelar warga emas.


Pertabalan Baginda Queen




Pertabalan Baginda Queen Elizabeth II berlaku ketika saya sudah berada dalam Darjah II. Kami diberikan lencana pertabalan seorang satu dan kami memakainya di dada dengan penuh bangga, kerana sayangkan Baginda Queen, raja pemerintah Persekutuan Tanah Melayu. Saya juga boleh mengingati dengan jelas bagaimana murid-murid dikerah berbaris di panas terik matahari kerana menunggu ketibaan rombongan Persuruhjaya Tinggi British, Sir Donald McGullivary yang tiba dengan tiga buah helikopter. Bayangkanlah perasaan kami kerana melihat helikopter buat kali pertama dalam hidup. Angin kipas helikopter hampir menerbang dan menumbangkan kami yang masih kecil. Kami berbaris sepanjang jalan tepi padang bola. Dua buah bukit yang saya ceritakan itu berada di belakang kami. Kami menghadapi matahari terbit dan cahaya matahari pagi menyilaukan.



Setelah sekian lama kami menunggu deruman bunyi pesawat udara mula kedengaran. Tiga buah helikopter berwarna hijau tentera mula kelihatan dengan kipas besarnya berputarligat di atasnya. Helikopter terbang rendah hingga hampir mencecah puncak pokok cicar dekat bangunan sekolah kami yang beratap nipah itu. Pesawat itu mula mendarat dan angin kipasnya sungguh kuat dan kami ditolak dengan kuatnya serta menahan daripada terkena habuk yang dibawa bersama angin kipas helikopter; bukan sebuah, tetapi daripada tiga helikopter yang mendarat serentak. Itulah kali pertama kami melihat helikopter.

Sir Donald McGullivary turun dan disambut oleh Pegawai Daerah dan pembesar-pembesar daerah. Itu sahajalahlah yang dapat saya ingat mengenai lawatan bersejarah itu. Apa yang faham ketika itu ialah tentang sambutan yang kami berikan kepada wakil raja kami, The Queen.

Friday, March 7, 2008


‘Harih Gilirang’


Pekan Kuala Berang menjadi tumpuan ratusan, malah ribuan penduduknya pada tiap-tiap hari Sabtu dan hari Rabu. Ia dipanggil ‘Hari Giliran’ oleh penduduk tempatan atau disebut, “Harih Gilirang” dalam bahasa ccakap ulu. ‘Hari Giliran’ berpusat di pasar Kuala Berang di mana urusan jualbeli bermacam jenis barangan dilakukan oleh peniaga tempatan dan peniaga dari luar Kuala Berang. Justeru itu, urusan perniagaan amat laris pada hari-hari tersebut. Bilangan orang yang ramai itu menjadikan Kuala Berang amat meriah pada ‘Hari Giliran’.


Oleh itu ‘Hari Giliran’ merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh para peniaga, tetapi juga merupakan hari yang diminati oleh semua pengunjung lain, tua dan muda. Para belia menggunakan kesempatan ini untuk melaram, berkeliaran di pasar dan kaki lima deretan kedai sambil berjampur gaul dengan para pengunjung lain yang memang datang untuk urusan berjual beli. Waktu itu para pemuda gemar berpakaian ‘Yankee’ dengan berseluar ketat dan rambut disikat berjambul yang terjulur ke depan. Saya sendiri pernah cuba menyikat rambut cara sedemikian menggunakan minyak rambut ‘AAA’ tetapi tidak menjadi kerana barangkali saya masih belum belia. Saya amat meminati cara seorang pemuda dari Kampung Buluh berpakaian. Beliau kelihatan amat segak dan kacak. Bila berjalan beliau sentiasa diiringi beberapa orang kawan. Namnya Che Musa. Beliau sering singgah di Kedai Gunting Jaafar untuk bersikat dan membetulkan jambulnya depan cermin besar. Othman Muda anak Pok De Uban pun tidak kalah dalam soal ini. Pandai menyanyi dan suaranya disukai ramai, beliau pun segak dan bergaya pada ‘Hari Giliran’. Itulah kehebatan orang dahulu, berlagak dan bergaya tanpa dadah. Mereka hanya merokok. Barangkali itulah sahaja ciri negatif yang agak ketara waktu itu. Apa yang mereka gemar ialah berpakain segak dan bergaya. Merempit? Tiada! Mereka tidak bermotosikal pun. Mereka hanya ke hulu ke hilir tanpa menyusahkan masyarakat, kerana belia waktu itu sangat beradab dan menghormati orang tua.


Cikgu De tidak menang tangan menjalankan urusan menjahit pada “Hari Giliran’. Mesen jahit tuanya diusong ke pasar untuk mengambil upah mencantumkan kain pelaikat dan kain batik yang dibeli oleh para pengunjung ‘Hari Giliran’.


Kawan saya, Wan Mustaffa Wan Chik, berniaga kain baju secara lambak kerana sudah tidak bersekolah dan beliau datang keluarga yang sudah lama berniaga. Bapanya Wan Chik mempunyai kedai yang agak besar di pekan Kuala Berang.


Keempat-empat kerusi gunting di kedai Ayoh Por sentiasa penuh pada ‘Hari Giliran’. Tiga orang tukang gunting yang diupahnya tentu mendapat pendapatan yang lebih pada ‘Hari Giliran’. Papan dam dihadapan kedainya itu sentiasa penuh dengan peminat. Manakala Dato’ Gaung dengan berpakaian ‘rasmi’ yang penuh dengan lencana ‘diraja’, tak berganjak dari kerusi papan dam dan tak henti-henti memberikan ceramah untuk menyakinkan semua orang bahawa beliau adalah kerabat kesultanan Johor.


“Akuk nih rajea.......Sultang Ahmad ....mung buduh duk kenaa urang!”, ulang Dato’ Gaung berkali-kali serta diambut dengan hilai tawa di kedai Ayoh Por.


“Orang dok tahu Dato’ tu Raja!”, sampuk Ayoh Por dan ini menaikkan semangat Dato’ Gaung untuk terus berceramah.


Kereta sapu dan teksi tak berhenti-henti mengangkut penumpang dari semua tempat yang boleh didatangi kenderaan. Jeep ala jeep tentera US digunakan untuk membawa penumpang dari kawasan pedalaman yang tidak bertar. Salah satu jalan seumpama itu ialah jalan ke Bukit Gemuruh. Saya tahu benar tentang ini ialah kerana abang sulung saya memiliki sebuah jeep seperti itu untuk membawa penumpang dari Bukit Gemuruh ke Kuala Berang. Itulah jeep yang saya cuba pandu ketika membasuhnya lalu melanggar pagar masjid.


Penjual ubat seperti Wak Malaya yang menjual minyak kambing gurun sering datang dan sentiasa mendapat perhatian orang ramai.


Pemain ular India yang menyebabkan ular tedungnya keluar dari bakul dan menari-nari ketika beliau meniup serunai gemuknya juga datang membuat persembahan. Inilah yang sentiasa ditunggu oleh kanak-kanak macam saya. Jika pemain ular tidak datang, kami merasa sungguh hampa.


Masih ingat pada Wan Busu? Jumlah apam baliknya ditambah pada ‘Hari Giliran’. Untungnya berlipat ganda.


Kedai Kopi Ah Phang turut dibanjiri pelanggan kerana kedai beliau paling hampir dengan pasar. Titian khas diadakan untuk menyeberangi longkang besar yang memisahkan kedai Ah Phang dengan pasar.


Oh! Nun di tebing sungai, Pak Leh Buta kelihatan riang, kerana rumahnya sentiasa disinggahi mereka yang menyeberang dari Gaung dan Telaga.




Saya percaya ‘Hari Giliran’ masih wujud sekarang, tetapi tentunya suasananya berubah.

Wednesday, March 5, 2008


Serbuk Sabun Cap “OMO”

Sekarang terdapat berbagai jenis sabun dijual di pasaran, hingga tak terkira banyaknya. Bila ke supermarket kita akan dapat melihat berjenis-jenis sabun dipamirkan hingga sukar membuat pilihan. Di samping sabun serbuk, terdapat juga sabun dalam bentuk cecair. Tahukah anda bila sabun serbuk mula dikeluarkan? Apakah jenis sabun yang digunakan seblum terciptanya sabun serbuk?

Mari kita lihat apa yang terjadi dalam tahun 1950-an di Kuala Berang. Sebuah van besar yang tertulis “OMO” di dindingnya datang ke Kuala Berang . Ia menuju ke pasar lama sebelah kedai Mok Ku Tuang Kembang. Seperti biasa, hari Rabu adalah hari pekan sehari. Jumlah orang paling ramai di pekan pada hari tersebut. Lori “OMO” dibuka dan bahan dalam kotak berwarna biru muda dan tertulis “OMO” dikeluarkan dan dipamer atas meja. Juga, dikeluarkan dua basin besar dan diisikan air ke dalamnya. Sehelai baju dikotorkan dengan pengilat kasut “Kiwi”. Rupanya mereka mahu menunjukkan cara mencuci baju yang telah dikotorkan itu.

Seorang jurujaul mencuci baju tersebut dalam basin menggunakan sejenis debu putih yang bercampur dengan sedikit debu biru dari kotak “OMO” itu. Baju yang tadinya kotor bertukar menjadi putih bersih. Itulah sabun serbuk pertama yang kami lihat. Ramai yang membelinya. Sabun “OMO” menjadi sabun kegemaran selepas itu. Mereka sudah mula menolak penggunaan sabu berbuku “Sunlight” yang sebelum itu minjadi pilihan mereka. Perlu diingat bahawa waktu itu mesen membasuh masih belum wujud. Kerja membasuh dibuat dengan tangan sahaja.
Setalah terciptnya sabun serbuk, kerja membasuh menjadi mudah. Kami tidak lagi perlu menyental pakaian yang dibasuh dilantai atau memberusnya; memadailah hanya dengan merendamnya seketika dan membasuhnya dalam air sabun dalam baldi atau basin. Orang sekarang tentu belum pernah melihat basin besi untuk membasuh pakaian. Bentuknya bujur, kira-kira tiga kaki panjangnya dan terdapat dua telinga supaya senang diangkat. Baldi juga diperbuat daripada besi. Saya rasa belum ada bahan plastik pada masa itu. Timba yang digunakan untuk mengambil air dari perigi juga diperbuat daripada besi.

Traktor Pertama

RIDA (Kini MARA) telah membawa Kula Berang setapak lagi ke hadapan. Apakah yang telah dibawa oleh RIDA untuk penduduk Kuala Berang? Traktor pembajak. RIDA telah membuat pertunjukan membajak tanah menggunakan traktor buat pertama kalinya di Kuala Berang. Beratus-ratus orang membanjiri sebuah kawasan dekat sekolah atap saya. Mereka berdiri di sekeling kawan yang dahulunya adalah tanah kebun pertanian sekolah. Di situlah mereka melihat suatu keajaipan. Mereka melihat sendiri bagaimana sebuah traktor membajak tanah hingga lumat betul-betul dihadapan mata mereka. Mereka tentu kehairanan melihat kawasan kebun yang luasnya kira-kira 1 ekar itu dapat dibajak sehingga lumat tanahnya dalam masa yang singkat. Seseorang yang kami kenali, Cik Bakor ditugaskan untuk mengendalikan traktor tersebut. Mereka yang hadir, ada yang mengangguk dan ada yang mengiling. Walau apapun yang mereka fikir dan apapun yang mereka faham tentang traktor, pastinya, ia menjadi titik mulanya era traktor pembajak menguasi sektor pertanian di Kuala Berang selepas itu.

Dalam keghairahan seseorang untuk mencari keuntungan dengan cara mengambil upah membajak menggunakan traktor, suatu peristiwa yang tidak mudah dilupakan ialah bila sebuah traktor dibawa untuk menyeberangi Sungai Berang untuk ke Tanjung Putat dengan menggunakan rakit buluh yang dibina sendiri. Walaupun rakit yang dibina menggunakan buluh berang itu sudah cukup besar, traktor itu tidak dapat bertahan lama di atas raki. Ia menjunam ke dalam sungai dan terus tenggelam. Usaha menaik dan membaikinya telah melibatkan kerugian yang besar kepada pemilik trektor tersebut.

Dahulu, bila sebuah traktor lalu, semua mata akan tertumpu kepadanya kerana ia benda baru. Hari ini tiada siapa mahu ambil peduli atau memandangnya bila ada yang lalu. Nasib! Nasib! Nasib traktor zaman kemajuan. Kehebatan tidak semestinya kekal selama-lamanya. Bila tiba masanya sesuatu yang hebat pada sesuatu ketika itu mungkin tidak diminati lagi setelah waktu beredar dan masa berubah.

Kata orang sekarang, “Biasalah!” atau “Tahu tak apa!”.
Pasukan Bola Sepak

Kira-kira dalam tahun 1958 liga bola sepak daerah Kuala Berang menjadi kegilaan penduduk daerah. Pasukan yang bertanding terdiri daripada pasukan Pejabat, Guru, Pekerja dan pasukan-pasukan dari kampung-kampung sekitar pekan. Ayah Por merupakan pengurus Pasukan Pekerja merangkap penjaga golnya. Setiap kali ada perlawanan, ribuan penonton akan hadir menontonnya dan Pasukan Pekerja merupakan pasukan yang paling diminati.

Seorang pemain berketurunan Cina yang berkerja di kilang papan menjadi pemain yang amat digemari oleh penonton. Belaiu berasal dari luar Kuala Berang. Kecekapannya bermain menarik perhatian ramai. Berbadan besar, bola yang dibawa oleh pemain pasukan lawan tidak pernah dapat membolosi beliau yang bermain sebagai pemain pertahanan.

Sebagai pengurus, Ayoh Por menjadikan kedai guntingnya sebagai tempat mereka berkumpul dan berbincang. Jadi, kedai Ayoh Por menjadi lebih sibuk daripada biasa pada musim bola sepak. Bagaimanpun, semuanya berbaloi apabila, akhirnya Pasukan Pekerja menjadi johan.

Tuesday, March 4, 2008


Main Bola Meja (Billiard)




Bola meja menjadi tumpuan kaki judi. Meja besar beralas baldu hijau terdapat di ruang kedai rumah Mok De Selamoh. Ia dimiliki oleh seorang taukeh dari Kuala Terengganu. Di situlah mereka bermain menggunakan kayu dan bola keras sebesar bola tenis. Seorang penjaga skor ditugaskan menjaga skor di papan skor khas yang mempunyai nombor dan penanda nombor yang boleh ditolak mengikut nombor. Saya selalu benar masik melihat permainan judi itu kerana tempat itu cuma selang sepintu dari rumah nenek. Kanak-kanak macam saya tidak ditegah berada di tempat berjudi demikian. Agak pelik juga jika difikirkan, kerana saya tidak pula mempunyai sebarang minat untuk berjudi hingga sekarang. Hari ini, bola meja seumpama itu wujud dalam bentuk bermeja kecil dan dinamakan snooker. Snookerpun saya tidak minati dan tidak pernah mencuba bermainnya.





Suami Mok De Selamoh, tuan punya rumah di mana terdapat meja billiard itu, sakit batuk kering. Beliau sentiasa kelihatan kurus dan tak bermaya. Mok De Selamoh amat perihatin akan kesihatan suaminya. Beliau selalu memberikan suaminya itu makan sarang burung lelayang sebagai ubat. Saya selau berpeluang melihat beliau membersihkan sarang burung itu dalam mangkuk sebelum dapat dijadikan ubat. Pada suatu hari suami Mok De Selamoh yang jarang ke mana-mana itu, bersandar pada tiang kanan di kaki limanya, bahagian yang lebih hampir dengan rumah kedai Sheikh Ayub yang berasal dari Afghanistan. Tiba-tiba saya terdengar suami Mok De Selamoh batuk dengan kuatnya tak henti-henti. Kami yang sedang melihat perlawanan dam depan kedai gunting Jaafar tertumpu ke arahnya. Batuknya mengeluarkan darah dengan banyaknya. Beberapa orang yang berada di situ mnerpa dan mengusungnya masuk ke dalam rumah. Itulah kali terakhir saya melihatnya. Al-Fatihah.

Monday, March 3, 2008

Unta Yang Laju Berlari


Unta Yang Laju Berlari

Kami ketawa terbahak-bahak sambil menidakkan cerita yang dibawa oleh Tuan Sheikh. Namanya Sheikh Ayub dan berasal dari Afghanistan. Beliau dan keluarganya tinggal jarak dua pintu dari rumah nenek saya. Kami berjiran. Anak-anaknya, Abu Bakar, Omar dan Othman adalah kawan saya. Paras rupa mereka adik beradik macam orang putih, terutama yang perempuan. Cantik.

Pada suatu hari Sheikh Ayub dengan berpakain kain pelaikat, berbaju melayu dan berkopiah, menghampiri kami depan kedai gunting Jaafar. Kami ketika itu sedang bercerita tentang unta yang berjalan lambat. Bila mendengar kami berkata unta tidak boleh berjalan dengan laju, Tuan Sheikh terus menyampuk dan menyatakan disebaliknya. Beliau menyatakan untuk memang laju, malah ada pertandingan untuk menunjukkan kepantasan unta berlari di negara asalnya, Afghanistan. Ketika itulah kami mula ketawa terbahak-bahak kerana enggan percaya akan ceritanya itu. Beliau pula mati-matian mempertahankan apa yang diceritakannya itu. Kami tetap menyangkalnya.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa kekurangan ilmu dan maklumat menyebabkan kita bertengkar. Perbezaan tahap pencapaian maklumat dan ilmu menyebabkan manusia berselisih faham. Maklumat mengenai unta bagi Tuan Sheikh adalah cukup dan mantap, manakala kami mempunyai pengetahuan yang rendah tentang unta. Ini kerana pada waktu itu sumber maklumat amat sukar diperolehi. Kami tidak ada TV dan internet.

Cerita yang dibawa oleh Tuan Sheikh adalah cerita benar dan ini terbukti apabila saya menontonnya sendiri dalam satu rancangan TV. Berdosa kami kerana tertawakan Tuan Sheikh. Maafkan kami Tuan Sheikh.

Abu Bakar, anak Tuan Sheikh, adalah kawan dan jiran saya. Entah macam mana, kerana wang 20 sen dan adu domba oleh kawan-kawan lain yang diketuai oleh Mohd Nor Haji Mek, Abu Bakar dan saya bergocoh (bertumbuk) di padang bola setelah diatur supaya berbuat demikian pada suatu malam bulan terang. Mereka yang mengadu domba itu semuanya ada menyaksikan pertarungan itu. Kami masuk ke padang melalui kedai kopi Abong (Ah Boon). Apa yang berlaku sebenarnya ialah kami hanya berpeluk-peluk dan berguling di tanah. Tidak sakit pun. Itulah pengalaman pertama dan terfakhir saya bergocoh dalam hidup saya. Abu Bakar tetap kawan saya hingga sekarang. Abu Bakar tentu akan tersenyum bila membaca apa yang saya tuliskan ini.

Saturday, March 1, 2008

Hanya Diterangi Lampu Gasoline dan Pelita

Kuala Berang tidak ada kemudahan bekalan elektrik seperti di Kuala Terengganu. Waktu bulan gelap, kegelapan malam menakutkan. Rumah-rumah penghuni pekan hanya diterangi pelita. Mereka yang lebih berada menggunakan lampu gasoline yang lebih terang. Lampu gasoline juga digunakan oleh Majlis Bandaran untuk menerangi pekan Kuala Berang. Ia digantug pada tiang lampu yang di atasnya ada dipasangkan atap berbentuk empat persegi untuk melindungi lampu daripada terkena hujan (Lihat gambat pekan). Lampu dinaikkan menggunakan tali seperti tali yang digunakan untuk menaikkan bendera pada tiang bendera.



Seorang pekerja ditugaskan untuk memasang lampu pada semua tiang setiap petang. Beliau menyalakan semua lampu itu di hadapan rumah Moh Mek Tiong. Semua lampu dikumpulkan di situ untuk menambah minyaknya untuk dipam dan dinyalakan satu persatu. Banyak juga lampu yang diuruskan setiap petang; berpuluh juga bilangannya. Bila semua sudah menyala, lampu itu dihantar ke tiang menggunakan basikal. Itulah caranya; dihantarnya ke semua tiang lampu dan dibiarkan hingga lampu-lampu itu padam sendiri bila kehabisan minyak. Jika tidur lewat, saya kerap melihat lampu yang hampir kehabisan minyak mengeluar api sebelum padam.



Esoknya, rutin yang sama diulang. Tiada lampu yang menyala kerana dipetik suiznya di Kuala Berang. Sebab itulah timbulnya cerita lawak mengenai orang dari hulu yang ke bandar besar buat pertama kali dan melihat lampu elektrik menyala tanpa sumbu.



Beliau juga kehairanan melihat lampu berkelip yang padam dan menyala dengan sendirinya lalu berkata, “Tingok toh! Nye cucouh nye mboh...nye cucouh nye mboh”. Ia bermaksud, “Tengok tu! Di cucuh dan di hembus”. Kini, kampung yang paling jauh pun sudah memiliki lampu elektrik. Bukan itu sahaja, mereka juga turut memiliki peralatan letrik lain seperti TV, mesen membasuh dan peti sejuk. Pendek kata, kawasan luar bandar dan bandar boleh menikmati kemudahan yang serupa. Lenyaplah pelita dan lampu gasoline bersama ‘Lenyapnya Kuala Berang’.



Lain pula ceritanya dengan Man Buta yang tinggal di seberang kawasan berpaya belakang masjid. Beliau sering kelihatan berbaju hijau, berkain pelekat dan bersongkok. Percakapannya mencerminkan beliau seorang yang berilmu dan beriman. Keistimewaan Man ialah bila beliau berjalan dalam gelap waktu tidak berlampu dan bulan terang. Beliau bukan sahaja tahu arah yang hendak ditujunya, tetapi perjalanannya pantas seolah-olah macam beliau nampak jalan yang dilaluinya. Kami pernah mengujinya dengan secara senyap menghalang perjalanannya. Sepantas kilat beliau mengelak seolah-olah beliau nampak kami. Benarlah kata orang bahawa orang yang buta matanya mempunyai mata hati yang terang.