Saturday, March 1, 2008

Hanya Diterangi Lampu Gasoline dan Pelita

Kuala Berang tidak ada kemudahan bekalan elektrik seperti di Kuala Terengganu. Waktu bulan gelap, kegelapan malam menakutkan. Rumah-rumah penghuni pekan hanya diterangi pelita. Mereka yang lebih berada menggunakan lampu gasoline yang lebih terang. Lampu gasoline juga digunakan oleh Majlis Bandaran untuk menerangi pekan Kuala Berang. Ia digantug pada tiang lampu yang di atasnya ada dipasangkan atap berbentuk empat persegi untuk melindungi lampu daripada terkena hujan (Lihat gambat pekan). Lampu dinaikkan menggunakan tali seperti tali yang digunakan untuk menaikkan bendera pada tiang bendera.



Seorang pekerja ditugaskan untuk memasang lampu pada semua tiang setiap petang. Beliau menyalakan semua lampu itu di hadapan rumah Moh Mek Tiong. Semua lampu dikumpulkan di situ untuk menambah minyaknya untuk dipam dan dinyalakan satu persatu. Banyak juga lampu yang diuruskan setiap petang; berpuluh juga bilangannya. Bila semua sudah menyala, lampu itu dihantar ke tiang menggunakan basikal. Itulah caranya; dihantarnya ke semua tiang lampu dan dibiarkan hingga lampu-lampu itu padam sendiri bila kehabisan minyak. Jika tidur lewat, saya kerap melihat lampu yang hampir kehabisan minyak mengeluar api sebelum padam.



Esoknya, rutin yang sama diulang. Tiada lampu yang menyala kerana dipetik suiznya di Kuala Berang. Sebab itulah timbulnya cerita lawak mengenai orang dari hulu yang ke bandar besar buat pertama kali dan melihat lampu elektrik menyala tanpa sumbu.



Beliau juga kehairanan melihat lampu berkelip yang padam dan menyala dengan sendirinya lalu berkata, “Tingok toh! Nye cucouh nye mboh...nye cucouh nye mboh”. Ia bermaksud, “Tengok tu! Di cucuh dan di hembus”. Kini, kampung yang paling jauh pun sudah memiliki lampu elektrik. Bukan itu sahaja, mereka juga turut memiliki peralatan letrik lain seperti TV, mesen membasuh dan peti sejuk. Pendek kata, kawasan luar bandar dan bandar boleh menikmati kemudahan yang serupa. Lenyaplah pelita dan lampu gasoline bersama ‘Lenyapnya Kuala Berang’.



Lain pula ceritanya dengan Man Buta yang tinggal di seberang kawasan berpaya belakang masjid. Beliau sering kelihatan berbaju hijau, berkain pelekat dan bersongkok. Percakapannya mencerminkan beliau seorang yang berilmu dan beriman. Keistimewaan Man ialah bila beliau berjalan dalam gelap waktu tidak berlampu dan bulan terang. Beliau bukan sahaja tahu arah yang hendak ditujunya, tetapi perjalanannya pantas seolah-olah macam beliau nampak jalan yang dilaluinya. Kami pernah mengujinya dengan secara senyap menghalang perjalanannya. Sepantas kilat beliau mengelak seolah-olah beliau nampak kami. Benarlah kata orang bahawa orang yang buta matanya mempunyai mata hati yang terang.

No comments: