Friday, February 15, 2008

“Mari kita pakai lawar-lawar naik jugit!”

Kuala Berang merupakan pekan serba satu. Di sana ada sebuah klinik dengan seorang dresser dan seorang atanden. Begitu jugalah dengan Pejabat Pos yang dikendalikan oleh seorang postmaster dan seorang posmen. Che Hashim seorang posmen berbasikal. Basikal merahnya mempunyai bakul di bahagian hadapan dan di dalamnya diletakkan bakul surat-surat yang hendak dihantar. Beliau bertopi keras dan berpakaian seragam kain khaki. Setiap orang Kuala Berang mengenalinya. Anaknya, Mohd Hashim, kawan sekelah penulis di sekolah Tengku Ampuan Intan Primary. Anihnya, semenjak meninggalkan Kuala Berang , penulis belum pernah berjumpa dengannya. Alangkah manisnya jika dapat berjumpa dengan kawan lama seperti ini dan bercerita mengenai kisah-kisah lama ketika di Kuala Berang.

Che Wan Mansor seorang postmaster yang pandai bermain alat muzik. Bila teringatkan Che Wan Mansor, penulis ingatkan pasukan muziknya. Latihannya sering diadakan di kediamannya yang bersambung dengan Pejabat Pos. Dulunya bangunan ini merupakan klinik yang dikendalikan Che Awang Dresser, sebelum ia perpindah ke hospital baru tidak jauh dari masjid. Kumpulan muziknya dianggotai oleh antaranya Che Awang Dresser, Che Harun Zainal, Ibrahim Trumpet dan beberapa orang lagi yang penulis gagal mengingatinya. Itulah kumpulan muzik daerah Kuala Berang yang mengiringi penyanyi-penyanyi daerah dalam majlis-majlis tertentu. Penyanyi yang tidak asing lagi kepada penduduk Kuala Berang ketika itu adalah Hassan Othman dan Othman Muda. Merekalah merupakan dua orang penyanyi yang amat diminati ramai di pekan Kuala Berang. Lagu-lagu lima puluhan menjadi lagu-lagu yang sering dinyanyikan; biasanya lagu-lagu yang menjadi kegemaran ramai di corong radio.

Bila ada sesuatu keramaian di padang bola, pentas joget merupakan tempat di mana pemuzik-pemuzik ini ditempatkan untuk mengiringi permpuan joget yang berjoget dengan pasangan masing-masing. Perempuan joget biasanya didatangkan khas dari Kuala Terengganu. Salah seorang yang agak kerap ke Kuala Berang sebagai perempuan joget di pentas joget ialah Ku Anjang.

Pemuda-pemuda pekan dan kampung sekitarnya merupakan pelanggan tetap acara joget yang diadakan. Suatu perkara yang menjadi cerita yang sering diulang cerita di kalangan kami di pekan ialah cerita mengenai seorang pemuda di luar pekan yang cuba bercakap menggunakan bahasa standard mengajak kawannya berjoget. Ketika mengajak rakannya untuk berjoget, katanya, “Mari kita pakai lawar-lawar naik jugit!”, yang bermaksud: Mari kita pakai lawar-lawar dan pergi berjoget. Apa yang melucukan di sini ialah kerana tanpa disedari loghat kampungnya jugit yang bermaksud joget itu terungkap di akhir ayat bahasa standardnya. Apa lagi, kami yang di pekan menjadikannya bahan ketawa sesama kami.
 

Ccakap Ulu (Loghat Hulu)

 
 
Sebagaimana diketahui umum, penduduk di kampung-kampung sekitar Kuala Berang menggunakan bahasa (loghat) mereka yang tersendiri. Ccakap ulu. Sesuatu yang anih tetapi benar ialah, penduduk pekan Kuala Berang sendiri tidak bercakap ulu dan hanya menggunakan bahasa seperti dituturkan di Kuala Terengganu, yang disebut ccakap Tegganung. Ini berlaku kerana kebanyakan penduduk pekan terdiri daripada pendatang dari luar daerah. Mereka datang dari Kuala Terengganu, dan daerah-daerah lain yang menggunakan ccakap Tegganung. Jadi, ccakap ulu tidaklah asing bagi penduduk pekan Kuala Berang sendiri. Bagaimanapun, silap faham sering berlaku bila mereka dari pekan Kuala Berang diajuk seolah-olah bercakap ulu bila berhadapan dengan mereka dari luar Kuala Berang. Mereka sering diacah agar bercakap ulu.

Kampung yang pekat dengan loghat hulunya adalah kampung sekitar seperti Tanjung Putat, Bukit Gemuruh, Kampung Buluh, Pasir Nering, Kampung Pauh, Jenagor, Gaung, Telaga, Butut dan Tajing serta kampung-kampung lain yang lebih jauh.

Tentag sebutan dalam ccakap ulu serta aspek lain yang berkaitan memerlukan kajian yang mendalam untuk menghuraikannya. Sekadar contoh penulis ingin senaraikan beberapa ayat dalam ccakap ulu:

Moung nok gi bile?’ yang bermaksud ‘Kamu nak pergi bila?’.
Akuk nok timbok tupa’ yang bermaksud ‘Aku nak tembak tupai’.
Ambek telu lang mulor’ yang bermaksud ‘Ambil telur dalam molor’.
Uning gih le duluh’ yang bermaksud ‘Awak pergilah dulu’.

Perlu dingatkan bahawa sebagai seorang dilahir dan membesar di Kuala Berang, penulis merasa bangga dengan ccakap ulu yang terdapat di Kuala Berang. Ia mencerminkan jatidiri yang unik yang perlu dipertahankan sebagai orang Terengganu bangga dengan loghat Terengganu dan orang Kedah bangga dengan loghat Kedahnya. Ia menjadikan Bahasa Melayu lebih kaya dan setanding dengan bahasa lain di dunia.

(Penulis memohon maaf daripada penutur asli ccakap ulu jika contoh yang penulis senaraikan kurang tepat kerana tidak mengejanya dengan lebih tepat menggunakan simbol phonetic)

No comments: