Monday, February 25, 2008


Fun Fair
A.R.Tompel, Mat Sentul dan Ghazali Sumantri pernah berada di Kuala Berang selama satu atau dua minggu dalam tahun 50an. Mereka datang mengadakan pertunjukan bangsawaan dalam Fun Fair yang diadakan di kawasan antara padang bola dan deretan kedai, di kaki Bukit Bendera. Banyak cerita bangsawan yang dipersembahkan selama mereka berada di Kuala Berang. A.R.Tompel dan Mat Sentul selalunya membawa watak yang kelakar dan jenaka. Ghazali Sumantri pula selalu membawa watak hero. Siapa tak kenal A.R. Tompel dan Mat Sentul. Apa kurangnya Ghazali Sumantri. Mat Sentul terkenal sebagai pelawak dan pengarah filem dalam tahun 1970an dan seterusnya. Manakala A.R.Tompel yang sentiasa muncul berpasangan dengan P.Ramlee dan Ibrahim Din dalam siri filem Bujang Lapuk selepas zaman bangsawaannya itu. Saya dan rakan-rakan serta penduduk Kuala Berang bertuah kerana berpeluang mengenali mereka dengan lebih dekat. Ini termasuklah Ghazali Sumantri yang sering muncul sebagai hero dalam filem waktu gemilangnya selepas era bangsawan di Kuala Berang itu.

Dalam kawasan yang sama terdapat pentas joget dan pemuziknya tentulah kumpulan muzik yang diketuai oleh Che Wan Mansor. Itu sahaja hiburan yang ada ketika itu di samping wayang gambar dalam panggung daun nyiur yang dibawa oleh Wahab Travelling Cinema. Selain itu, sekali sekala, ada juga tayangan wayang gambar Jabatan Penerangan. Kebanyaka filem yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan adalah filem rencana yang diterbitkan oleh Filem Negara. Setiap kali ada tayangan waktu rehat untuk membolehkan pegawai penerangan berucap dan memberikan maklumat serta berita yang hendak disampaikan kepada rakyat oleh kerajaan. Waktu itulah lampu dinyalakan dan kami kanak-kanak bising-bising marah. Sambungan tayangan hanya bermula setelah ucapan yang tidak memberi sebarang erti kepada kami itu selesai kira-kira sejam kemudian. Kalaulah ketika itu ada TV, tentu tak ada sesiapa yang akan keluar ke padang untuk menonton. Salah seorang pegawai Jabatan Penerangan yang ditugaskan berucap menyampaikan berita mahupun propaganda, ialah Encik Hashim yang berbadan kecil dan kurus serta bercermin mata. Beliau bukan anak Terengganu. Pada suatu malam, ketika berucap antara tayangan filem penerangan, di hadapan Pejabat Daerah, seluruh penonton riuh ketawa bila beliau menyebut perkataan “Tanglung” dengan sebutan standard dan betul. Keriuhan menyebabkan beliau naik berang.

“Apa! Salahkah sebutan saya?” Tanya beliau kepada penonton.
“Salah!”, sahut sebilangan penonton, sebahagian besarnya kanak-kanak.

Apa lagi, beliau mengambil masa agak panjang menerangkan tentang sebutan sebenar perkataan tanglong. Orang Kuala Berang manalah tahu akan sebutan tanglung sebenar itu, kerana mereka selama-lamanya menyebutkan perkataan tanglung sebagai “Talong” sahaja. Bagi yang menggunakan ccakap ulu menyebutnya sebagai “Talaong”. Kecacatan komunikasi begini sering dialami olek penduduk Kuala Berang dengan orang yang datang dari luar seperti Encik Hashim. Tambahan pula waktu itu jumlah orang yang buta huruf agak besar.

Untuk membasmikan buta huruf, kerajaan mengadakan kelas dewasa bagi membolehkan mereka yang buta huruf hadir belajar membaca pada sebelah malam. Banyaklah kelas dewasa ditubuhkan di merata kampung. Mereka diajar oleh guru-guru kelas dewasa. Waktu belajar dalam kelas dewasalah berlakunya suatu peristiwa di mana sebuah kelas dilawati oleh seorang Guru Pelawat. Sebelum lawatan guru kelas telahpun memberitahu pelajar bahawa beliau akan membuat isyarat tangan untuk membantu mereka mengeja bila ditanya oleh Guru Pelawat semasa pelawat itu menguji kemahiran mengeja mereka.

Dalam lawatannya Guru Pelawat menulis perkataan “Gelang” di papan hitam dan meminta pelajar-pelajar menyebutnya. Beliau meminta salah seorang pelajar perempuan yang agak berumur menyebut perkataan yang ditulis itu. Pelajar tersebut tak dapat menyebutnya dan guru kelas cuba membantu dengan mengurut-ngurut lengannya sebagai isyarat agar pelajar itu menyebut’ “Gelang”. Pelajar itu berulangkali menyebut, “Malu! Malu! Malu!”, kerana sangkanya perkataan yang ditulis itu perkataan tidak elok dan lucah. Ha! Ha! Ha! Saya rasa tak payahlah saya teruskan dengan memberikan penjelasan mengenai insiden ini. Cukuplah sampai di sini. Anda semua tentu telah dapat mengagak jawapannya.

No comments: