Friday, February 29, 2008


Telephone Exchange

Telephone Exchange Kuala Berang terletak di Jalan Butut, kira-kira 80 meter dari simpang masuk. Ia bangunan konkrit kecil setingkat dan berpagar. Pada masa itu ia merupakan di antara bangunan yang bina secara sempurna dan menarik perhatian kerana kesempurnaannya jika dibandingkan dengan bangunan lain yang rata-rata dibina daripada kayu. Su Ting dan saya pernah menjadikannya lokasi bergambar menggunakan kamera bapa saudara Su Ting. Ini jelas membuktikan bahawa kami melihatnya sebagai suatu tempat yang menarik. Gambar yang saya maksudkan ini tentu ada pada Su Ting.

Bangunan itu, jika masih ada, tentunya telah menjadi bangunan yang paling kecil jika dibandingkan dengan bangunan pejabat yang lain. Resam dunia memanglah begitu; apa yang hebat pada suatu masa dahulu sudah tidak hebat lagi kemudiannya. Demikian juga dengan kehidupan. Kehebatan silam tidak semestinya dikagumi selama-lamanya kecuali dalam aspek keagamaan. Dari sudut agama kita wajar dan semesti wajib berpegang kepada yang asal, khususnya bagi umat Islam. Mereka wajib berpegang kepada Agama yang dibawa oleh Rasulullah hingga ke akhirnya. Ia tidak boleh berubah status seumpama bangunan Telephone Exchange Kuala Berang yang saya ceritakan itu.

Bila saya sebutkan tentang Telephone Exchange, seorang yang bernama Ibrahim tidak boleh dilupakan. Beliau kakitangan yang bertugas di situ. Beliau adalah kawan masyarakat. Cara beliau membawa diri, walaupun datang dari luar Kuala Berang, disenangi oleh semua gulungan. Beliau peramah dan pandai bergaul. Beliau bertugas menggunakan basikal mempastikan talian telefon dan Exchange sentiasa berada dalam keadaan baik.

Setelah berpuluh tahun tidak berjumpa, saya terserempak dengannya di kedai kereta terpakai di Bukit Kecil dan bercakap-cakap dengannya sambil mengimbau zaman silam beliau di Kuala Berang. Celotehnya masih seperti dahulu walaupun sudah agak berumur. Beliau masih sihat dan bertugas di situ selaku jaga.

No comments: