Tuesday, February 26, 2008


Tiada Perbalahan Kaum

Ah Chuan dan isterinya merupakan pengusaha kantin Tengku Ampuan Intan Primary School. Anehnya, pada zaman itu, sebahagian besar pelajar terdiri daripada kanak-kanak Melayu; hanya ada dua tiga orang pelajar Cina di situ. Kanak-kanak Melayu zaman itu tidak berkeberatan makan di kantin milik pengusaha Cina. Keadaan sedemikian tidan wujud lagi pada zaman ini. Rumahnya ke arah sungai dan di bahagian paling hujung pekan, berhadapan kedai Haji Su. Di sebalah kedai Acuan adalah kedai jahit yang pertama di Kuala Berang. Baju pengakap saya dibuat di kedai jahit itulah.

Kedai gambar terletak tidak jauh dari kedai jahit. Ia bersebelahan dengan kedai pajak gadai. Gambar yang dihasilkan hanya gambar hitam putih. Bagaimanapun, ia adalah satu-satunya kedai gambar di pekan kami walaupun sebelum itu Ah Meng Kokong pernah adakan khidmat tangkap gambar secara kecil-kecilan. Ah Meng berhentikah perkhidmatannya setelah kedai gambar yang ada studio wujud.

Tukang Mas Gemuk, bapa Tan Yuen, kawan sesekolah saya, adalah pemilik bangunan kedai yang paling besar di Kuala Berang. Ia bersebelahan dengan stesyen bas Trengganu Bus Company Limited di mana Station Masternya ialah Pok Cik Said yang berasal dari Negeri Sembilan. Beliaulah suami kepada Cik Nik nasi dagang yang terkenal itu. Tambang bulanan bas sekolah ketika itu cuma lebih kurang $2.00 wang Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) sebulan. Jika bayar hari, cuma 5 sen sehala. Menyebut tentang naik bas sekolah ini saya teringatkan seorang kawan yang tinggal di Pulau Che Awang, kampung Buluh bernama Zainal Awang. Beliau tidak menaiki bas demi sukan. Beliau hanya minta kami membawa bukunya menaiki bas, manakala beliau berlari sahaja ke sekolah yang jauhnya kira-kira sebatu dari pekan. Kegigihan beliau ini menyebabkan beliau sentiasa di tempat pertama dalam acara yang disertai. Saya tidak pernah berjumpa Zainal lagi setelah meninggalkan Kuala Berang. Khabarnya beliau menjadi seorang pengukir arca kayu yang terkenal di Kuala Lumpur.

Ho Su Ting atau Su Ting merupakan kenalan dan kawan sekolah yang kekal berkawan dengan saya hingga ke hari ini. Kami sama-sama meneruskan persekolahan ke Sultan Sulaiman Secondary School di ibu negeri dan berhubungan hingga ke hari ini. Rumah keluarganya bersebelahan dengan rumah Tan Yuen. Ibunya, Mek Ngoh, menusahakan kedai dobi. Jadi Su Ting sentiasa berpakaian pakaian yang bergosok rapi. Neneknya, Mok Mek Geger, serta ibu saudaranya Mek Kee tinggal di situ juga. Mereka boleh dikatakan macam sebuah keluarga Melayu dan kebanyakan kenalan keluarga mereka saya perhatikan adalah orang Melayu. Tak hairanlah mengapa Mek Kee akhirnya berkahwin dengan orang Melayu.

Selaku kawan rapat saya, Su Ting dan saya sentiasa bersama. Saya masih ingat akan kegigihan kami berlatih sukan bersama di padang bola setiap pagi Jumaat atau hari tak bersekolah yang lain. Kami keluar waktu subuh sewaktu kabus masih tebal dan sejuk. Kami melakukannya hingga terbit matahari. Inilah agaknya contoh kegigihan kanak-kanak zaman dahulu. Kami melaku sesuatu atas inisiatif sendiri tanpa perlu dipaksa oleh orang dewasa. Kami tetapkan matlamat kami sendiri tanpa perlu mendapatkan dorongan atau motivasi dari luar untuk mencapai kejayaan.

Dahulu, untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, seseorang itu perlu lulus Ujian Kemasukan Ke Sekolah Menengah dan terpaksa menjawab soalan pepereksaan yang dikendalikan secara pusat dari Kuala Lumpur. Su Ting, saya dan dua orang lagi kawan sekelas, Yahya Ismail dan Zakaria Ibrahim, berpakat tinggal di asrama Tengku Ampuan Intan Primary School dalam masa cuti sekolah untuk mengulangkaji pelajar dan belajar secara kumpulan dengan izin warden asrama. Bayangkan, cuma kami berempat di situ. Seluruh asrama kosong tanpa penghuni lain; tiada guru dan tiada pelajar. Antara kami berempat Zakarialah yang jadi tukang masak. Saya masih ingat sayur tumis kacang bendi yang dimasak oleh Zakaria. Sedap.

Malangnya, nasib Yahya dan Zakaria kurang baik. Mereka gagal. Hanya Su Ting dan saya lulus dan berjaya ke Sultan Sulaiman Secondary School bersama tiga orang lagi, Wan Razali, Zakaria Muda dan Rahim Haji Muhamad. Hanya kami berlima berjaya ke sekolah menengah dalam peperiksaan 1959. Hari ini, semuanya sudah berubah. Setiap pelajar sekolah rendah seolah-olah dijemput ke sekolah menengah tanpa sekatan. Alangkah bertuahnya pelajar hari ini! Peluang dan ruang untuk belajar terbuka luas. Kegagalan sebenar hari ini adalah kegagalan merebut peluang, bukannya gagal dalam peperiksaan. Manakal dahulu kami gagal dalam peperiksaan.

Kedai Kopi Ah Boon betul-betul di sebelah rumah Su Ting. Jika kita masuk terus ke bahagian belakang, kita akan dapat melihat dua meja mahjong yang sentiasa dipenuhi oleh penjudi Cina dan Melayu asyik bermain mahjong siang dan malam. Bisingnya semacam di mana-mana tempat main mahjong. Tak payahlah saya sebutkan watak-watak yang sering ke situ. Antaranya adalah watak yang saya amat kenal dan akhirnya menjadi orang ternama.

Seorang lagi Ah Boon tidak memiliki kedai kopi, tetapi adalah peminat ikan pelaga yang pernah saya ceritakan. Beliau agak kaya dan pemabuk. Ketika mabuk saya pernah ternampak beliau meracau dari tingkat atas rumah kedainya hingga terhantuk kepalanya ke bahagian atas tingkap. Beliau hampir terjatuh ke tanah. Lagi ramai kami mengerumuni kawasan berhampirannya lagulah kuat beliau meracau.

Ah Phang pula adalah tuan punya kedai kopi di sebelah pasar lama. Kedai kopinya terkenal kerana mee rebus dan serbuk kopi yang di proses sendiri. Saya pernah melihat proses mengoreng biji kopi dan dikisar hingga menjadi serbuk kopi kerana kedai kopinya di sebelah pasar di mana nenek berniaga. Masih ingatkah Ah Phang yang melapah babi yang ditembak oleh Pok Mat Dom? Dialah orangnya. Aneh bukan? Semua kedai kopi, selain kedai kpoi Hamid, Pok Mat Gemuk, Pok Mat Leno dan Kuyakuti adalah kedai kopi kaum Cina. Manakal pelanggannya pula adalah terdiri dari rata-rata orang Melayu. Masalah berlainan bangsa atau kaum tidak pernah timbul atau ditimbulkan. Adakah ini merupakan kejayaan penjajah yang gagal kita tiru? Adakah penjajah lebih pandai menguruskan keharmonian kaum? Entah! Ia tertakluk kepada penyelidikan dan kajian lanjut agar kaum-kaum di Malaysia hari ini lebih sanggup hidup bersama seperti dahulu.

Mok Mek Tiong adalah jiran nenek. Maka dia menjadi jiran saya. Orangnya sudah agak tua. Dia kurang pendengaran. Dia tinggal bersama anaknya Ah Kee dan cucui perempuannya Mek Yam. Satu ketika Chan anaknya yang lebih tua, kawan bapa saya, ada tinggal bersama dan menusahakan generator yang membekalkan kuasa elektik kepada beberapa rumah kedai. Usahanya itu gagal kerana kurang mendapat sambutan dan akhirnya beliau berpindah untuk bekerja di lombong bijih besi di Bukit Besi.

Ah Kee yang kami panggil Aki, kawan rapat abang sulong saya, Wan Sulong. Beliau juga seorang pemandu teksi seperti abang saya. Beliau macam orang Melayu dan hari ini beliau adalah Muslim dan beristerikan orang Melayu. Sebelum meninggal ibunya, Mok Mek Tiong, juga berhijrah menjadi seorang Muslimat. Alfatihah.

Semasa hidupnya beliau amat aktif. Selain memiliki kebun getah yang ditoreh oleh Datuk Gaung, beliau menjahit dan membuat bermacam kuih. Pau berintinya dan kuih kusu kacangnya amat saya gemari.

Ah Yin adalah seorang lagi tukang pemilik kedai emas. Tidak banya perkara yang dapat diceritakan tentang Ah Yin. Saya cuma ingat yang beliau selalu ke Kedai Gunting Jaafar untuk digunting rambutnya. Tatapi, watak Ah Meng agak penting. Bapanya pemilik kedai runcit sebalah kedai Awang Arak. Dia juga menusahakan kedai basikal ditempat yang sama. Manakala ibunya, Mok Moya, berkebun di belakang deretan rumah kedai, bersempadan dengan kawasa berpaya dan Bukit DO. Beliau menanam tebu, keladi dan pisang. Apakah kaitan beliau dengan kanak-kanak? Mencuri. Mencuri tebu Mok Moya menjadi hobi kanak-kanak nakal. Kanak-kanak sebenarnya lebih kepada unsur main-main. Mereka merasa seronok bila dikejar Mok Moya.

Awang Arak yang menjual arak itu bukannya orang Melayu. Beliau adalah juga orang Cina yang dipanggil Awang Arak oleh penduduk Kuala Berang. Kedainya juga ada banyak rokok yang dijual secara borong kepada pekedai lain. Manakala Cermin Mata pula adalah berketurunan Cina dan merupakan tuan pun kedai kopi di mana Mok Yam dan Pak Bujang menjual sate. Cuma yang unik tentang Cermin Mata ini adalah cermin mata yang dipakainya agak tebak dan berbingkai merah anggur. Dari telinga ke telinga, diikat pula dengan getah supaya tidak jatuh. Barng kali saya telah sebutkan sebelum ini vahawa ada suatu benda yang saya amat minati di kedai Cermin Mata ini, selain rotibakar dan serikayanya. Benda itu ialah sebuah gambar yang tergantung di kedai. Ia merupakan gambar lukisan berwarna mengambarkan suasana di Shanghai, Cina. Saya agak gambar itulah ‘pintu’ pertama saya ke luar negara yang kemudiannya saya jadikan kenyataan bila berkunjung ke banyak negara dalam hidup saya.

No comments: