Friday, March 7, 2008


‘Harih Gilirang’


Pekan Kuala Berang menjadi tumpuan ratusan, malah ribuan penduduknya pada tiap-tiap hari Sabtu dan hari Rabu. Ia dipanggil ‘Hari Giliran’ oleh penduduk tempatan atau disebut, “Harih Gilirang” dalam bahasa ccakap ulu. ‘Hari Giliran’ berpusat di pasar Kuala Berang di mana urusan jualbeli bermacam jenis barangan dilakukan oleh peniaga tempatan dan peniaga dari luar Kuala Berang. Justeru itu, urusan perniagaan amat laris pada hari-hari tersebut. Bilangan orang yang ramai itu menjadikan Kuala Berang amat meriah pada ‘Hari Giliran’.


Oleh itu ‘Hari Giliran’ merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh para peniaga, tetapi juga merupakan hari yang diminati oleh semua pengunjung lain, tua dan muda. Para belia menggunakan kesempatan ini untuk melaram, berkeliaran di pasar dan kaki lima deretan kedai sambil berjampur gaul dengan para pengunjung lain yang memang datang untuk urusan berjual beli. Waktu itu para pemuda gemar berpakaian ‘Yankee’ dengan berseluar ketat dan rambut disikat berjambul yang terjulur ke depan. Saya sendiri pernah cuba menyikat rambut cara sedemikian menggunakan minyak rambut ‘AAA’ tetapi tidak menjadi kerana barangkali saya masih belum belia. Saya amat meminati cara seorang pemuda dari Kampung Buluh berpakaian. Beliau kelihatan amat segak dan kacak. Bila berjalan beliau sentiasa diiringi beberapa orang kawan. Namnya Che Musa. Beliau sering singgah di Kedai Gunting Jaafar untuk bersikat dan membetulkan jambulnya depan cermin besar. Othman Muda anak Pok De Uban pun tidak kalah dalam soal ini. Pandai menyanyi dan suaranya disukai ramai, beliau pun segak dan bergaya pada ‘Hari Giliran’. Itulah kehebatan orang dahulu, berlagak dan bergaya tanpa dadah. Mereka hanya merokok. Barangkali itulah sahaja ciri negatif yang agak ketara waktu itu. Apa yang mereka gemar ialah berpakain segak dan bergaya. Merempit? Tiada! Mereka tidak bermotosikal pun. Mereka hanya ke hulu ke hilir tanpa menyusahkan masyarakat, kerana belia waktu itu sangat beradab dan menghormati orang tua.


Cikgu De tidak menang tangan menjalankan urusan menjahit pada “Hari Giliran’. Mesen jahit tuanya diusong ke pasar untuk mengambil upah mencantumkan kain pelaikat dan kain batik yang dibeli oleh para pengunjung ‘Hari Giliran’.


Kawan saya, Wan Mustaffa Wan Chik, berniaga kain baju secara lambak kerana sudah tidak bersekolah dan beliau datang keluarga yang sudah lama berniaga. Bapanya Wan Chik mempunyai kedai yang agak besar di pekan Kuala Berang.


Keempat-empat kerusi gunting di kedai Ayoh Por sentiasa penuh pada ‘Hari Giliran’. Tiga orang tukang gunting yang diupahnya tentu mendapat pendapatan yang lebih pada ‘Hari Giliran’. Papan dam dihadapan kedainya itu sentiasa penuh dengan peminat. Manakala Dato’ Gaung dengan berpakaian ‘rasmi’ yang penuh dengan lencana ‘diraja’, tak berganjak dari kerusi papan dam dan tak henti-henti memberikan ceramah untuk menyakinkan semua orang bahawa beliau adalah kerabat kesultanan Johor.


“Akuk nih rajea.......Sultang Ahmad ....mung buduh duk kenaa urang!”, ulang Dato’ Gaung berkali-kali serta diambut dengan hilai tawa di kedai Ayoh Por.


“Orang dok tahu Dato’ tu Raja!”, sampuk Ayoh Por dan ini menaikkan semangat Dato’ Gaung untuk terus berceramah.


Kereta sapu dan teksi tak berhenti-henti mengangkut penumpang dari semua tempat yang boleh didatangi kenderaan. Jeep ala jeep tentera US digunakan untuk membawa penumpang dari kawasan pedalaman yang tidak bertar. Salah satu jalan seumpama itu ialah jalan ke Bukit Gemuruh. Saya tahu benar tentang ini ialah kerana abang sulung saya memiliki sebuah jeep seperti itu untuk membawa penumpang dari Bukit Gemuruh ke Kuala Berang. Itulah jeep yang saya cuba pandu ketika membasuhnya lalu melanggar pagar masjid.


Penjual ubat seperti Wak Malaya yang menjual minyak kambing gurun sering datang dan sentiasa mendapat perhatian orang ramai.


Pemain ular India yang menyebabkan ular tedungnya keluar dari bakul dan menari-nari ketika beliau meniup serunai gemuknya juga datang membuat persembahan. Inilah yang sentiasa ditunggu oleh kanak-kanak macam saya. Jika pemain ular tidak datang, kami merasa sungguh hampa.


Masih ingat pada Wan Busu? Jumlah apam baliknya ditambah pada ‘Hari Giliran’. Untungnya berlipat ganda.


Kedai Kopi Ah Phang turut dibanjiri pelanggan kerana kedai beliau paling hampir dengan pasar. Titian khas diadakan untuk menyeberangi longkang besar yang memisahkan kedai Ah Phang dengan pasar.


Oh! Nun di tebing sungai, Pak Leh Buta kelihatan riang, kerana rumahnya sentiasa disinggahi mereka yang menyeberang dari Gaung dan Telaga.




Saya percaya ‘Hari Giliran’ masih wujud sekarang, tetapi tentunya suasananya berubah.

1 comment:

Anonymous said...

Boleh ceritakan tentang wak malaya tu tak