Wednesday, March 5, 2008


Traktor Pertama

RIDA (Kini MARA) telah membawa Kula Berang setapak lagi ke hadapan. Apakah yang telah dibawa oleh RIDA untuk penduduk Kuala Berang? Traktor pembajak. RIDA telah membuat pertunjukan membajak tanah menggunakan traktor buat pertama kalinya di Kuala Berang. Beratus-ratus orang membanjiri sebuah kawasan dekat sekolah atap saya. Mereka berdiri di sekeling kawan yang dahulunya adalah tanah kebun pertanian sekolah. Di situlah mereka melihat suatu keajaipan. Mereka melihat sendiri bagaimana sebuah traktor membajak tanah hingga lumat betul-betul dihadapan mata mereka. Mereka tentu kehairanan melihat kawasan kebun yang luasnya kira-kira 1 ekar itu dapat dibajak sehingga lumat tanahnya dalam masa yang singkat. Seseorang yang kami kenali, Cik Bakor ditugaskan untuk mengendalikan traktor tersebut. Mereka yang hadir, ada yang mengangguk dan ada yang mengiling. Walau apapun yang mereka fikir dan apapun yang mereka faham tentang traktor, pastinya, ia menjadi titik mulanya era traktor pembajak menguasi sektor pertanian di Kuala Berang selepas itu.

Dalam keghairahan seseorang untuk mencari keuntungan dengan cara mengambil upah membajak menggunakan traktor, suatu peristiwa yang tidak mudah dilupakan ialah bila sebuah traktor dibawa untuk menyeberangi Sungai Berang untuk ke Tanjung Putat dengan menggunakan rakit buluh yang dibina sendiri. Walaupun rakit yang dibina menggunakan buluh berang itu sudah cukup besar, traktor itu tidak dapat bertahan lama di atas raki. Ia menjunam ke dalam sungai dan terus tenggelam. Usaha menaik dan membaikinya telah melibatkan kerugian yang besar kepada pemilik trektor tersebut.

Dahulu, bila sebuah traktor lalu, semua mata akan tertumpu kepadanya kerana ia benda baru. Hari ini tiada siapa mahu ambil peduli atau memandangnya bila ada yang lalu. Nasib! Nasib! Nasib traktor zaman kemajuan. Kehebatan tidak semestinya kekal selama-lamanya. Bila tiba masanya sesuatu yang hebat pada sesuatu ketika itu mungkin tidak diminati lagi setelah waktu beredar dan masa berubah.

Kata orang sekarang, “Biasalah!” atau “Tahu tak apa!”.

No comments: