Sunday, March 16, 2008


Bersunat Cara Lama


Saya bersunat ketika dalam darjah tiga di Sekolah Melayu. Cikgu Isa adalah guru darjah saya ketika itu. Majlis bersunat itu diadakan di kampung ibu sempena perkahwinan ibu saudara saya, idik kepada ibu.

Majlis bermula dengan majlis mengadap “nasi semangat” sebaik selesainya persandingan ibu saudara dan suaminya. Sebelum itu, abang saya , Wan Ghani dan seorang kawan bernama Samad serta saya sendiri di pakaikan pakaian yang cantik siapo dengan songkok yang dihiaskan dengan rantai emas. Kami dibawa masuk dan duduk di pentas persandingan serta ditonton oleh semua hadirin. Takut dan malu bercampur-campur. Majlis selesai setelah semua orang berpuas hati tanpa memikirkan perasaan kami yang akan di khatamkan pada pagi esoknya.

Msa yang ditunggu telah tiba. Waktu pagi telah tiba. Kami dimandikan dan masih ingat disuruh minum air rambut ibu. Ramai orang berada di tengah rumah datuk termasuk mudin. Abang saya disuruh masuk dan saya menunggu di luar di mana tiga tilam disediakan untuk kami bersama Samad. Perasaan takut menguasai diri. Saya pucat tidak berdarah. Abang sulong dan lain-lain mententeramkan saya. Dari luar saya saya dengan macam-macam bunyi ketika abang saya diuruskan oleh mudin. Bila selesai, abang keluar dan khabarnya banyak darah keluar. Saya menjadi lebih takut kerana giliran saya sudah tiba. Saya memberanikan diri dan dibawa masuk ke dalam. Saya didudukkan atas sebuah kekuda kayu yang di bawahnya ada batang pisang. Tangan dan kaki saya dipegang dan kepala saya didongakkan ke atas. Kemaluan saya mula terasa perit kerana ditarik tersa seperti di kepit sesuatu. Saya takut untuk melihatnya. Suara-suara pujukan kedengaran dari semua orang, termasuk pujukan dari mudin. Tiba-tiba kulit hujung kemaluan dipotong dengan pisau dan peritnya amat terasa. Saya hampir pitam. Setelah dibalut, saya dibawa ke tilam dan dibaringkan terlentang dengan diletakkan bokor abu di bawah kemaluan untuk menadah darah yang mungkin keluar. Bahagian atas peha ditutup dengan kain yang digantung dengan tali supaya tidak terkena kemaluan yang baru dipotong itu.
Ramai yang datang mengerumuni saya dan saya terbaring di situ ketakutan. Kesakitan.
Giliran Samat paling tragik kerana kekuda yang digunakan telah patah bila Samad melompat kesakitan ketika disunatkan. Ini berlaku kerana Samad jauh lebih tua daripada abang dan saya. Beliau sudahpun meningkat remaja ketika itu.

Mujurlah semuanya selamat. Luka saya cepat sembuh kerana ayah mendapatkan ubat dari bandar Kuala Terengganu walaupun setiap pagi luka itu dibasuh di sungai menggunakan air sungai sahaja. Bila dah sembuh saya pulang semula ke Kuala Berang untuk meneruskan persekolahan.

Sekarang ini semuanya dilaksanakan dengan cara yang lebih bersih dan mengikut kaedah perubatan yang moden. Kanak-kanak sekarang amat bertuah kerana adanya semua itu.
Saya masih ingat, suatu ketika saya terpijak paku berkarat yang menembusi tapak kaki saya. Tahukah apa yang dibuat oleh bapa? Disumbatnya belacan dan dibalut dengan kain buruk. Anehnya, luka itu sembuh dengan eloknya tanpa masalah. Jika tidak masakan saya masih ada untuk menulis begini walaupun sudah bergelar warga emas.

No comments: