Monday, March 3, 2008

Unta Yang Laju Berlari


Unta Yang Laju Berlari

Kami ketawa terbahak-bahak sambil menidakkan cerita yang dibawa oleh Tuan Sheikh. Namanya Sheikh Ayub dan berasal dari Afghanistan. Beliau dan keluarganya tinggal jarak dua pintu dari rumah nenek saya. Kami berjiran. Anak-anaknya, Abu Bakar, Omar dan Othman adalah kawan saya. Paras rupa mereka adik beradik macam orang putih, terutama yang perempuan. Cantik.

Pada suatu hari Sheikh Ayub dengan berpakain kain pelaikat, berbaju melayu dan berkopiah, menghampiri kami depan kedai gunting Jaafar. Kami ketika itu sedang bercerita tentang unta yang berjalan lambat. Bila mendengar kami berkata unta tidak boleh berjalan dengan laju, Tuan Sheikh terus menyampuk dan menyatakan disebaliknya. Beliau menyatakan untuk memang laju, malah ada pertandingan untuk menunjukkan kepantasan unta berlari di negara asalnya, Afghanistan. Ketika itulah kami mula ketawa terbahak-bahak kerana enggan percaya akan ceritanya itu. Beliau pula mati-matian mempertahankan apa yang diceritakannya itu. Kami tetap menyangkalnya.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa kekurangan ilmu dan maklumat menyebabkan kita bertengkar. Perbezaan tahap pencapaian maklumat dan ilmu menyebabkan manusia berselisih faham. Maklumat mengenai unta bagi Tuan Sheikh adalah cukup dan mantap, manakala kami mempunyai pengetahuan yang rendah tentang unta. Ini kerana pada waktu itu sumber maklumat amat sukar diperolehi. Kami tidak ada TV dan internet.

Cerita yang dibawa oleh Tuan Sheikh adalah cerita benar dan ini terbukti apabila saya menontonnya sendiri dalam satu rancangan TV. Berdosa kami kerana tertawakan Tuan Sheikh. Maafkan kami Tuan Sheikh.

Abu Bakar, anak Tuan Sheikh, adalah kawan dan jiran saya. Entah macam mana, kerana wang 20 sen dan adu domba oleh kawan-kawan lain yang diketuai oleh Mohd Nor Haji Mek, Abu Bakar dan saya bergocoh (bertumbuk) di padang bola setelah diatur supaya berbuat demikian pada suatu malam bulan terang. Mereka yang mengadu domba itu semuanya ada menyaksikan pertarungan itu. Kami masuk ke padang melalui kedai kopi Abong (Ah Boon). Apa yang berlaku sebenarnya ialah kami hanya berpeluk-peluk dan berguling di tanah. Tidak sakit pun. Itulah pengalaman pertama dan terfakhir saya bergocoh dalam hidup saya. Abu Bakar tetap kawan saya hingga sekarang. Abu Bakar tentu akan tersenyum bila membaca apa yang saya tuliskan ini.

No comments: