Sunday, March 16, 2008



Pertabalan Baginda Queen




Pertabalan Baginda Queen Elizabeth II berlaku ketika saya sudah berada dalam Darjah II. Kami diberikan lencana pertabalan seorang satu dan kami memakainya di dada dengan penuh bangga, kerana sayangkan Baginda Queen, raja pemerintah Persekutuan Tanah Melayu. Saya juga boleh mengingati dengan jelas bagaimana murid-murid dikerah berbaris di panas terik matahari kerana menunggu ketibaan rombongan Persuruhjaya Tinggi British, Sir Donald McGullivary yang tiba dengan tiga buah helikopter. Bayangkanlah perasaan kami kerana melihat helikopter buat kali pertama dalam hidup. Angin kipas helikopter hampir menerbang dan menumbangkan kami yang masih kecil. Kami berbaris sepanjang jalan tepi padang bola. Dua buah bukit yang saya ceritakan itu berada di belakang kami. Kami menghadapi matahari terbit dan cahaya matahari pagi menyilaukan.



Setelah sekian lama kami menunggu deruman bunyi pesawat udara mula kedengaran. Tiga buah helikopter berwarna hijau tentera mula kelihatan dengan kipas besarnya berputarligat di atasnya. Helikopter terbang rendah hingga hampir mencecah puncak pokok cicar dekat bangunan sekolah kami yang beratap nipah itu. Pesawat itu mula mendarat dan angin kipasnya sungguh kuat dan kami ditolak dengan kuatnya serta menahan daripada terkena habuk yang dibawa bersama angin kipas helikopter; bukan sebuah, tetapi daripada tiga helikopter yang mendarat serentak. Itulah kali pertama kami melihat helikopter.

Sir Donald McGullivary turun dan disambut oleh Pegawai Daerah dan pembesar-pembesar daerah. Itu sahajalahlah yang dapat saya ingat mengenai lawatan bersejarah itu. Apa yang faham ketika itu ialah tentang sambutan yang kami berikan kepada wakil raja kami, The Queen.

No comments: