Sunday, September 22, 2013

Terengganu Bus Company Limited

Syarikat Bas Terengganu berhad menyediakan dua buah bas untuk berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang. Tambang yang dikenakan kalau tak silap cuma $1.25 sehala. Jalan dari Kuala Berang ke Ajil masih jalan tanah merah dan belum bertar. Bayangkanlah keadaan jalan itu dalam musim hujan.

Bas yang digunakan itu ada kepala di mana engine ditempatkan. Pada waktu pagi dan waktu tengah hari bas itu jugalah yang digunakan untuk membawa kami pergi dan pulang dari sekolah Inggeris Tengku Ampuan Intan di Batu 24. Tambang bas ke sekolah waktu itu cuma 5 sen sehala yang jaraknya 1 batu dari pekan Kuala Berang. Bila bas rosak atau mogok kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 batu ke sekolah beramai-ramai. Seronok juga berjalan sambil berpayung bila  musim hujan. Keseronokan zaman kanak-kanak subur dalam ingatan.

Antara pekan dan Batu 24 tak ada apa-apa bangunan kecuali satu atau dua buah rumah kampung dalam hutan dan pokok getah di sepanjang jalan. Wajah yang digambarkan itu sudah tidak wujud lagi sekarang. Hutan bangunan telah menggantikan hutan pokok getah.

Saturday, September 21, 2013

Penulis berdiri no 1 (kiri) dalam barisan menyambut 
YAB Tun Abdul Razak di maktab (1965)

Terkenang Semasa Dulu.

Ketika menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Allahyarham YAB Tun Abdul Razak mengunjungi maktab dan penulis berbaris menyambutnya. Turut sama dalam lawatan itu adalah YAB Menteri Besar ketika itu iaitu Tan Sri Ibrahim Fikri dan Ketua Pengarah Pelajaran Aminudun Baki.

Waktu itu tiada seorangpun pelajar perempuan mengenakan tudung atau jilbat. tali leher kamipun lebarnya hanya seinci.

Monday, October 29, 2012


Ayah Wan dan best friend, Tan Eng Seng (1956)
Beliau merupakan anak saudara kepada  arwah Aki , 
yang dikenali ramai di Kuala Berang.

Eng Seng dan abangnya Eng Ho bersekolah di Sekolah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu manakala penulis dan adiknya Eng Lian bersekolah di sekolah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang. Waktu cuti penggal persekolahan Seng dan abangnya Ho sentiasa menghabiskan cutinya di rumah neneknya, Mok Mek, iaitu jiran sebelah rumah penulis. Kami menjadi kawan rapat.

Kami sering menggunakan Bahasa Inggeris bila bercakap. Ini menyebabkan abang penulis yang tidak bersekolah Inggeris naik mual dan mengejek kami dan mengata-ngata kami dengan bemacam kata-kata sendaan. 

"Ccakak ong putih sokmo!....." katanya dalam loghat Terengganu, menganjing.

Beliau cipta ungkapan Inggerisnya sendiri dan kata,"Waspelek tek wa abrod there." ( Bermaksud: Aku tampar dan kau jatuh di sana ). Ia sungguh menggelikan hati bila teringatkan ungkapannya itu. Kadang-kadang sekarangpun penulis saja-saja ungkapkannya semula dalam situasi tertentu yang melucukan. Siapa sangka ungkapan yang entah mirip bahasa apa yang dicipta oleh abang penulis itu difahami maksudnya oleh mereka di sekitar penulis dan keluarga penulis, bila penulis ungkapkannya. Isteri penulis pun terbawa-bawa hingga mengungkapkannya kepada pelajarnya ketika mengajar di sekolah. Itulah sebuah kenangan mengenai abang penulis yang sangat  diingati, Wan Abdul Ghani Wan Mahmud, yang telahpun kembali ke Rahmatullah. Alfatihah.


Friday, July 15, 2011

Kuala Berang 1957


Depan kedai roti dan kedai Pak Mat
Cikgu Abdullah Mohd Kuala Berang 1957

Orang ramai sedang berbaris menunggu ketibaan VIP dari Kuala Terengganu untuk sesuatu majlis (Penulis kurang pasti majlis apa). Bangunan yang agak tinggi itu milik Pak Mat, seorang India Muslim, bapa kepada Cikgu Abdullah Mohd, Maidin, Hassan, Cikgu Abdul Rahman dan Mek Ramlah. Bangunan rendah di sebelahnya pula adalah kedai roti milik sekumpulan keluarga India yang silih berganti pulang ke India. Mereka menjaja roti ke kampung-kampung dengan menjunjung bakul besar di kepala.

Tuesday, August 17, 2010

Fiat 600


     
Dalam tahun 1968 penulis mengajar di Tebing Tembah, Paka, Dungun bersama isteri yang sedang mengandungkan anak sulung kami. Kami memiliki kereta pertama kami, sebuah Fiat 600 yang berharga RM1,800 ketika dibeli. Kereta terpakai itu berkhidmat untuk kami selama kira-kira  dua tahun. Kami menggunakanya untuk berulangalik dari Kuala Terengganu ke Paka dan pergi balik ke sekolah di Tebing Tembah ketika kami tinggal di Dungun. Baktinya kepada kami tidak akan dilupakan. Kami pernah masuk ke kawasan pertanian yang jauh di pendalaman Paka untuk bertemu ibu bapa murid yang mengikuti ibu bapa pada musim menuai dan tidak hadir ke sekolah. Bayangkan, dalam hujan ribut kami meredah kawasan yang hanya boleh dimasuki melalui jalan tanah yang becak. Alhamdulillah, khidmatnya tidak mengeciwakan.

      Oleh kerana enginenya diletakkan di belakang, kerapkali ia membawa masalah dari segi kepanasan engine. Banyak keadaan di mana air dalam radiatornya mendidih. Bagaimanapun itulah kenderaan kami yang pertama dan menimbulkan banyak kenangan manis yang tak mungkin dapat kami lupakan seumur hidup. Pernah ibubapa penulis mengikuti perjalanan kami ke Paka dan terpaksa mengalami keadaan di mana paip breknya pecah dan menyebabkan brek tidak perfungsi langsung. Penulis tidak sanggup memandunya lagi kerana takut. Ia berlaku di Merhcang. Bapa penulis, seorang pemandu semenjak muda, menyelamatkan keadaan. Beliau mengambilalih tugas memandu tanpa brek dari Merchang hingga ke Dungun di mana brek diperbaiki.

       Penulis bersama isteri selalu memancing di kawasan tebing sungai berhampiran jambatan Paka. Ia amat penulis sayangi dan dijaga dengan amat rapi. Ia cantik dan bila diletak di tempat memancing ia menarik perhatian ramai.

       Keunikan Fiat 600 penulis adalah tentang cara menghidupkannya. Sebatang giar kecil kira-kira empat inci panjang antara dua tempat duduk hadapan, hendaklah ditarik selepas kuncinya di buka.


Murid tahun 6, 1968 SK. TEBING TEMBAH, PAKA

       Pada masa yang sama penulis juga memiliki sebuah skuter jenis Vespa 150 Super berwarna kuning keputihan. Ia merupakan kenderaan kedua penulis ketika itu


Tuesday, April 13, 2010

Awal Lima Puluhan

Ayah Wan sedang mendukung sepupunya.
Berhampiran sekolah atap Kuala Berang terdapat kawasan berpaya; di seberangnya rumah Mak Ku dan rumah Tuan Seri. Di paya ini juga terdapat ikan pelaga. Penulis sering ke situ untuk mencari dan menangkap ikan pelaga. Bila terdapat buih menandakan ada ikan di bawahnya, penulis menggunakan dua tapak tangan untuk menangkapnya. Alangkah gembiranya hati penulis yang baru berusia kira-kira sembilan tahun ketika itu bila dapat melihat ikan pelaga menggelempar di tapak tangan. Lumpur paya yang masam airnya menjadi sesuatu yang biasa bagi penulis dan rakan-rakan.
(1952: Penulis, Ayah Wan, sedang mendukung sepupunya)