Sunday, September 22, 2013

Kuala Berang Kini

Digigit Anjing.

Awang, Salim dan Latif adalah anak Che Mat Forest. Mereka tinggal dekat masjid, tidak jauh dari rumah penulis; hanya dipisahkan oleh sebidang tanah kosong yang kami jadikan padang bola kami. Paling seronok bermain bola di situ adalah ketika hujan lebat. Penulis dan kawan-kawan merasa seronok bila terjatuh walaupun terkena najis lembu yang sudah bercampur dengan air hujan. Salim kawan sekelas penulis dan sama-sama belajar mengaji di rumah Pak Iman dan diajar oleh isteri Pak Iman. Kadang-kadang Pak Iman sendiri yang mengajar. Apa lagi, rotan di tanganlah. Dia juga yang mengajar cara bersolat. Malangnya penulis tak lama di situ. Salim dan penulis berpakat untuk berhenti mengaji kerana nak memasuki sekolah agama petang di Sekolah Melayu.

 Kuala Berang 1950-an

Bila memasuki sekolah agama petang kami terus ditempatkan dalam darjah dua. Itulah kali pertama penulis bertemu Ustaz Mohd Radzi dan Ustaz Sulong yang bertugas di situ. Bila naik darjah 3 penulis dilantik menjadi pembaca doa harian sekolah setiap hari sebelum memulakan pelajaran. Alhamdulillah. Pengalaman ini tak pernah penulis lupakan. Hubungan dengan Ustaz Mohd Radzi amat terkesan di jiwa penulis. Beliau jugalah ustaz yang ditugaskan mengajar agama pada setiap hari Sabtu di Sekolah Inggeris Tengku Ampuan Intan di mana penulis belajar dalam kelas Special Malay selama dua tahun. Sampai sekarang pun penulis tak pernah lupakan beliau. Semoga Allah tempatkan arwah bersama mereka yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah.

Suatu malam Awang, abang sulung Salim, dikejar anjing inspektor polis yang tinggal di kediamannya yang terletak di belakang pejabat daerah. Beliau seorang berketurunan India. Anjing besarnya itu berwarna hitam dan selalu kelihatan mengejar landrover polis sebelum melompat ke atasnya kerana ingin mengikuti tuannya bila ditinggalkan. Kami semua amat takutkan anjing tersebut. Pada malam itu Awang telah menjadi mangsanya. Peha dan seluarnya terkoyak dan berdarah. Kasihan Awang. (Alangkah baiknya jika anak buah Awang atau Salim dapat kirimkan gambar lama mereka untuk dishare)

No comments: